BH Online
Ringkasan Berita

PRN Negeri Sembilan: Saingan berbeza tiga 'warlord'

SEREMBAN: Pemimpin utama Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PN) yang turun ke gelanggang Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan berdepan saingan satu lawan satu.
PRN Negeri Sembilan: Saingan berbeza tiga 'warlord'

Tiga pemimpin kanan politik yang akan bersaing pada PRN Negeri Sembilan ke-16 (dari kanan) Datuk Seri Mohamad Hasan, Anthony Loke dan Datuk Seri Jalaluddin Alias.

SEREMBAN: Pemimpin utama Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PN) yang turun ke gelanggang Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan berdepan saingan satu lawan satu.

Timbalan Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Mohamad Hasan dicabar calon PH di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau, manakala Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke pula akan ditentang calon BN di DUN Chennah.

Pengerusi UMNO Negeri Sembilan, Datuk Seri Jalaluddin Alias bagaimanapun bersaing dalam pertembungan tiga penjuru di DUN Pertang, sama seperti Ketua Penerangan BERSATU, Datuk Tun Faisal Ismail Aziz di Sikamat.

Tun Faisal akan ditentang calon PH daripada PKR, Nor Azman Mohamad dan wakil PN mewakili WAWASAN yang juga bekas Timbalan Ketua Polis Melaka, Datuk Razali Abu Samah.

Kerusi DUN Sikamat disandang Pengerusi PH Negeri Sembilan yang juga Naib Presiden PKR, Datuk Seri Aminuddin Harun yang beralih ke DUN Linggi pada pilihan raya kali ini.

Mohamad, Loke dan Jalaluddin boleh dianggap 'warlord' dalam politik di Negeri Sembilan berdasarkan reputasi dan pengaruh masing-masing.

Di SEREMBAN, selain Sikamat, DUN Ampangan juga menyaksikan pertembungan tiga penjuru antara bekas ADUN kawasan itu, Datuk Dr Rafie Abd Malek (PN-PAS), Datuk Muhammad Nazri Kassim (PH-PKR) dan Noor'azah Harun (BERSATU).

Di DUN Lenggeng, penyandang kerusi, Datuk Mohd Asna Amin (BN-UMNO) bersaing dengan Zarinna Abu Zarin (PH-PKR) dan Zool Amali Hussin (BERSATU), manakala di DUN Lobak, saingan satu lawan satu antara penyandang, Chew Seh Yong (PH-DAP) dan Dr P Kumar (PN-PAS).

Sementara itu, DUN Nilai menyaksikan pertembungan lima penjuru membabitkan penyandang, Arul Kumar Jambunathan (PH-DAP), Lai Chien Kong (BN-MCA), Datuk V Saravanan Kumar (BERSATU), Zamani Ibrahim (BERJASA) dan calon Bebas, Omar Mohd Isa.

DUN Temiang pula menyaksikan saingan tiga penjuru antara Ho Weng Wah (PH-DAP), Leaw Kok Chan (BN-MCA) dan Fazly Hamid (BERSATU).

Di REMBAU, Mohamad yang juga penyandang kerusi DUN Rantau sejak 2004 akan berdepan calon PH, Dr Azizul Hakim Mahdi, manakala DUN Chembong menyaksikan calon BN, Datuk Zaifulbahri Idris akan mempertahankan kerusi daripada dirampas calon PH-PKR, Danish Nazran Murad.

Sementara itu, DUN Paroi menyaksikan persaingan tiga penjuru antara PN, PH dan BERSATU, masing-masing diwakili Kamarul Ridzuan Mohd Zin, Ahmad Shahir Mohd Shah dan Mohd Nazree Mohd Yunus.

Saingan tiga penjuru juga di DUN Kota membabitkan penyandang kerusi daripada BN, Suhaimi Aini dengan Muhammad Allif Ibrahim daripada PKR dan Akmal Noradzmi Abd Rahim daripada BERSATU.

Di JELEBU, Jalaluddin bakal ditentang Mohd Umry Abdul Khois (PH) dan Mohd Faizal Fadli Mohd Idrus (BERSATU) di Pertang, manakala Loke dicabar calon BN, Siow Kong Choon.

Bagi DUN Klawang, penyandang kerusi daripada PH, Bakri Sawir bakal ditentang sepupunya sekali lagi, Danni Rais yang juga anak bekas Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Dr Rais Yatim mewakili PN-WAWASAN serta calon BERSATU, Muhammad Adib Musa.

Di Sungai Lui, calon BN, Datuk Mohd Razi Mohd Ali akan mempertahankan kerusi disandangnya selama tiga penggal menentang calon PH, Zainal Fikri Abd Kadir dan calon BERSATU, Mazrulhisham Abd Mansor.

Video Terkini

Berita Berkaitan