BH Online
Ringkasan Berita

'Kenapa bina kondominium 25 tingkat di Indera Mahkota 5 sedangkan pelan asal lot komersial tak lebih tiga tingkat' - Penduduk

KUANTAN: Lebih 1,250 penduduk di Taman Indera Mahkota 5, di sini, membantah cadangan pembinaan kondominium mewah setinggi 25 tingkat dalam kawasan perumahan mereka bagi mengelak pelbagai masalah jangka panjang.
'Kenapa bina kondominium 25 tingkat di Indera Mahkota 5 sedangkan pelan asal lot komersial tak lebih tiga tingkat' - Penduduk

Penduduk Taman Indera Mahkota 5 mengadakan perhimpunan aman membantah pembinaan kondominium 25 tingkat di kawasan kejiranan mereka. NSTP/MOHD RAFI MAMAT

KUANTAN: Lebih 1,250 penduduk di Taman Indera Mahkota 5, di sini, membantah cadangan pembinaan kondominium mewah setinggi 25 tingkat dalam kawasan perumahan mereka bagi mengelak pelbagai masalah jangka panjang.

Antara kesulitan utama akan berlaku ialah kesesakan lalu lintas, selain kekurangan tempat meletak kenderaan terutama apabila 400 unit kediaman disediakan di situ kelak.

Pengerusi Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Indera Mahkota 5, Datuk Dr Johan Mat Shah, berkata kawasan cadangan pembinaan kediaman itu yang terlalu sempit turut mengundang keadaan tidak selesa penduduk setempat.

Beliau berkata, pelan asal kawasan pembinaan terbabit adalah lot komersial yang hanya dibenar membina bangunan tidak lebih tiga tingkat bersesuaian keluasan lokasi terletak bersebelahan bangunan kedai dan masjid.

Katanya, jika projek pembinaan kondominium itu diteruskan, risiko kerosakan struktur rumah penduduk sedia ada akan berlaku disebabkan kerja pembinaan cerucuk atau tiang pancang dilakukan.

"Kami berharap pihak berkuasa bertindak tegas tidak membenarkan projek pembinaan kediaman mewah itu diteruskan demi kepentingan penduduk setempat.

"Kami tidak sanggup berdepan kesulitan jika projek itu menjadi kenyataan, pelbagai masalah akan muncul apabila lebih ramai penduduk menetap dalam kawasan sempit," katanya, di sini hari ini.

Sekumpulan penduduk mengadakan perhimpunan aman selepas solat Jumaat semalam bagi membantah cadangan pembinaan kondominium mewah 25 tingkat itu.

Dr Johan berkata, taman perumahan Indera Mahkota 5 tidak memiliki kemudahan riadah dan dewan, justeru pembinaan kondominium itu akan menambah lagi ketidakselesaan dialami penduduk di situ.

Sementara itu, Pengerusi Masjid AlMuhajirin Indera Mahkota 5, Datuk Idros Yahya, berkata kewujudan kondominium mewah 25 tingkat itu turut mengundang gejala sosial apabila jumlah penduduk ramai dan padat berada di kawasan perumahan sempit.

"Kepadatan penduduk yang tinggi pasti menjejaskan keharmonian dan keselamatan persekitaran, malah impak secara tidak langsung kepada murid sekolah berhampiran.

"Jika apa yang dirancang itu menjadi kenyataan, penduduk terpaksa mengeluarkan kos bagi pembinaan pagar lebih selamat untuk keselamatan skim kediaman kami," katanya.

Beliau berkata, keselesaan dan nilaian harta skim kediaman penduduk setempat secara tidak langsung juga akan terkesan selepas ini.

Video Terkini

Berita Berkaitan