BH Online
Ringkasan Berita

Larian kesyukuran Syed Saddiq kumpul RM361,848 dalam tempoh dua hari

KUALA LUMPUR: Larian Kesyukuran Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, mencatatkan kejayaan luar biasa apabila berjaya mengumpul dana sebanyak RM361,848 dalam tempoh dua hari sahaja, melangkaui sasaran asal RM200,000 yang ditetapkan sebelum ini.
Larian kesyukuran Syed Saddiq kumpul RM361,848 dalam tempoh dua hari

Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman memulakan larian kesyukuran dari Putrajaya ke Muar. Foto FB

KUALA LUMPUR: Larian Kesyukuran Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, mencatatkan kejayaan luar biasa apabila berjaya mengumpul dana sebanyak RM361,848 dalam tempoh dua hari sahaja, melangkaui sasaran asal RM200,000 yang ditetapkan sebelum ini.

Kejayaan kutipan mencecah dua kali ganda itu dikongsikan sendiri Syed Saddiq yang mengakui amat terkejut dengan sokongan luar biasa berkenaan, memandangkan kutipan dana itu pada awalnya disasarkan untuk dikumpul dalam tempoh empat hari.

@bharianmy Larian kesyukuran Syed Saddiq kumpul RM361,848 dalam tempoh dua hari #beritaditiktok ♬ original sound - Berita Harian

"Sebanyak RM361,848. Jujurnya, saya sendiri masih terkejut tengok angka ini. Sasaran asal kita ialah RM200,000 dalam masa empat hari tetapi dalam masa dua hari saja kita bukan sahaja dah capai, malah dah melebihinya. Alhamdulillah," katanya menerusi satu perkongsian video di media sosialnya, hari ini.

Terdahulu, sebaik memasuki Negeri Sembilan, Syed Saddiq menerima sambutan yang amat meriah daripada penduduk setempat yang tidak melepaskan peluang memberikan sokongan moral sepanjang laluannya.

Kehadiran beliau bukan sahaja dinantikan, malah ada dalam kalangan penduduk yang sanggup menunggu di tepi jalan untuk menyerahkan sumbangan tunai serta meniupkan laungan semangat buat beliau.

Misi larian sejauh kira-kira 170 kilometer itu bermula pada 16 Julai lalu dari pekarangan Istana Kehakiman, Presint 3, Putrajaya menuju ke Muar, Johor.

Selain membawa matlamat kebajikan untuk membantu penduduk di kawasan Parlimen Muar, kembara fizikal itu juga menjadi simbolik tanda kesyukuran beliau selepas melalui perjuangan panjang membersihkan nama dan maruahnya.

Mengulas mengenai fasa larian yang dilaluinya semalam, Syed Saddiq berkata, perjalanan dari Labu melalui Seremban dan Pedas sebelum berakhir di Kota amat menguji ketahanan fizikalnya sehingga mengalami kekejangan otot yang teruk.

"Hari ini badan memang terseksa, kekejangan otot datang satu badan dan ada masa saya sendiri rasa sangat susah untuk teruskan. Sekarang saya merakam video ini pun saya boleh rasa kekejangan itu nak datang semula," katanya.

Ketabahan beliau terus diuji apabila terpaksa meredah hujan lebat ketika melalui kawasan Pedas. Bagaimanapun, bekas Menteri Belia dan Sukan itu mengakui keperitan fizikalnya terubat apabila melihat keikhlasan orang ramai yang setia menanti, termasuk dorongan besar yang diterimanya pada jarak tiga kilometer terakhir sebelum tiba di Kota.

"Di Pedas pula, hujan turun dengan sangat lebat tetapi saya betul-betul tersentuh apabila melihat masih ramai yang sanggup tunggu di tepi jalan untuk berikan semangat. Untuk tiga kilometer terakhir menuju ke Kota, saya dah tak mampu nak berlari dan terpaksa berjalan tapi apabila sampai dan nampak lautan manusia menunggu, semangat itu datang balik," katanya.

Beliau turut berkongsi rasa terharu apabila didekati golongan veteran yang tampil menghulurkan sumbangan mengikut kemampuan masing-masing demi menyokong usaha murni terbabit.

"Sepanjang perjalanan, ada mak cik dan pak cik yang datang hulurkan wang tunai kepada kami. Sumbangan paling kecil yang kami terima pula 50 sen, namun ia membawa makna yang amat besar buat kami. Bagi saya, bukan besar atau kecil jumlahnya, setiap sen membawa makna kerana semuanya datang daripada hati," katanya.

Syed Saddiq memberi jaminan bahawa keseluruhan dana yang diperoleh itu akan digunakan sepenuhnya bagi meluaskan skop bantuan sosial dan pendidikan untuk masyarakat di kawasannya, melebihi daripada perancangan awal.

"Pada awalnya kami sudah menyediakan perancangan bank makanan dan agihan iPad berjumlah RM200,000. Tetapi dengan sokongan luar biasa ini, kami akan lipat gandakan bantuan untuk masyarakat Muar. Lebih banyak keluarga akan menerima bantuan dan lebih ramai pelajar akan mendapat akses kepada peranti pembelajaran," katanya.

Sambil menzahirkan penghargaan mendalam kepada seluruh rakyat negara ini, Syed Saddiq menegaskan misi berkenaan kini menjadi satu lambang solidariti dan kebersamaan rakyat Malaysia.

"Terima kasih semua dan terima kasih Malaysia. Ini bukan lagi perjalanan saya seorang, ini perjalanan kita bersama," katanya.

Video Terkini

Berita Berkaitan