JEMPOL: Kesepakatan Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan dilakukan demi kestabilan politik di negeri itu.
Setiausaha Agung UMNO, Datuk Asyraf Wajdi Dusuki, berkata perkara lebih penting ketika ini ialah memastikan calon daripada dua gabungan parti itu memenangi semua 36 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang dipertandingkan.
@bharianmy 'Kerjasama BN-PN demi kestabilan politik' - Asyraf Wajdi #beritaditiktok ♬ original sound - Berita Harian
"Paling penting kita ada kesefahaman untuk memastikan semua tempat kita menang. Pertama kita kempen secara berhemah dan apa yang kita nak tawarkan kepada rakyat.
"Rakyat Negeri Sembilan sama seperti di Johor, kita nak berikan yang terbaik dan paling penting asas kestabilan itu.
"Kita lihat ada kerjasama parti teras orang Melayu dan Islam, paling penting kita harus mengakui realiti Negeri Sembilan ini negeri pelbagai kaum dan agama," katanya di Kompleks Pentadbiran Daerah Jempol bagi proses penamaan calon DUN Serting, Palong, Jeram Padang dan Bahau sebentar tadi.
Tiga calon bertanding di DUN Palong iaitu penyandang kerusi, Datuk Mustapha Nagoor (BN), yang akan dicabar Zahin Zinal Abidin daripada Pakatan Harapan (PH) dan Rebin Birham (BERSATU).
Sementara itu, di DUN Jeram Padang, BN mempertaruhkan penyandang kerusi itu, Datuk Zaidy Abdul Kadir yang berdepan G Manivannan (PH), R Sri Sanjeevan (BERSATU) dan Dayana Dal (Parti Asli).
Di DUN Bahau pula, BN mempertaruhkan calon MCA, Chong Fui Ming yang bakal berdepan penyandang kerusi itu, Teo Kok Seong daripada PH.
























