KINABATANGAN: Lelaki yang dipercayai dibaham buaya ketika sedang mencuci bot di Kampung Batu Putih, di sini, ditemukan awal pagi tadi.
Mangsa, Rusli Mardin, 57, ditemui kira-kira 500 meter di hilir sungai dari lokasi dia dilaporkan hilang selepas dibaham buaya pada jam 4.45 pagi.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Kinabatangan, Suriyadi Darwis, berkata mangsa ditemui penduduk yang memaklumkan penemuan itu kepada pasukan bomba.
"Ketika ditemui, keadaan anggota badan mangsa masih lengkap, namun terdapat kesan gigitan pada bahagian perut dan leher sebelah kanan.
"Pasukan bomba kemudian membantu mengangkat mangsa dari tebing sungai ke rumahnya," katanya ketika dihubungi di sini.
Dalam kejadian kira-kira jam 6.30 petang semalam, Rusli dilaporkan dibaham seekor buaya ketika mencuci bot di sungai berkenaan dengan kejadian itu disaksikan sendiri anaknya.
Suriyadi berkata, Rusli yang disahkan meninggal dunia kemudian diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.
Katanya, operasi ditamatkan pada jam 8 pagi tadi selepas memastikan tiada lagi bahaya di lokasi.
























