BH Online
Ringkasan Berita

PRN Negeri Sembilan: Pemimpin utama parti turun padang iringi calon ke pusat penamaan

SEREMBAN: Proses penamaan calon bagi enam kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di bawah Parlimen Seremban berlangsung dalam keadaan terkawal dan lancar di Wisma Majlis Bandaraya Seremban (MBS), Forest Heights, hari ini.
PRN Negeri Sembilan: Pemimpin utama parti turun padang iringi calon ke pusat penamaan

Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Johari Abdul Ghani (kiri) antara pemimpin utama BN turun padang mengiringi calon gabungan itu di Tampin. - NSTP/Fahmi Tajuddin

SEREMBAN: Proses penamaan calon bagi enam kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di bawah Parlimen Seremban berlangsung dalam keadaan terkawal dan lancar di Wisma Majlis Bandaraya Seremban (MBS), Forest Heights, hari ini.

Enam DUN terbabit ialah Lenggeng, Nilai, Lobak, Temiang, Sikamat dan N14 Ampangan.

Seawal jam 8 pagi, penyokong parti mula memenuhi kawasan pusat penamaan calon bagi memberi sokongan sebelum proses penyerahan borang pencalonan dibuka pada jam 9 pagi.

@bharianmy PRN Negeri Sembilan: Pemimpin utama parti turun padang iringi calon ke pusat penamaan #beritaditiktok ♬ original sound - Berita Harian

Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan kali ini menyaksikan saingan Barisan Nasional (BN), Pakatan Harapan (PH), Perikatan Nasional (PN), BERSATU dan BERJASA yang bertanding merebut kerusi DUN Nilai.

Pegawai Pengurus Pilihan Raya dijangka mengumumkan senarai rasmi calon yang layak bertanding sejurus tamat tempoh penyerahan borang pencalonan pada jam 10 pagi sebelum tempoh berkempen selama 14 hari bermula.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari pengundian awal pada 28 Julai, manakala hari pengundian 1 Ogos.

Di TAMPIN, Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Johari Abdul Ghani dan Bendahari UMNO, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor mengiringi calon BN pada proses penamaan calon di Dewan Perdana.

Kedua-dua pemimpin bersama Ahli Parlimen Tampin, Datuk Mohd Isam Mohd Isa itu mengiringi penyandang kerusi DUN Gemencheh, Suhaiman Bizar serta calon BN bagi DUN Repah, Koh Kim Swee.

jogani
Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Johari Abdul Ghani (kiri) antara pemimpin utama BN turun padang mengiringi calon gabungan itu di Tampin. - NSTP/Fahmi Tajuddin

Kira-kira jam 8.30 pagi, Johari dan Tengku Adnan atau Ku Nan turut menyertai perarakan sejauh 400 meter bersama ratusan jentera serta penyokong BN menuju ke pusat penamaan calon.

Di DUN Gemas, penyandang kerusi, Ridzuan Ahmad akan mempertahankan kerusi berkenaan atas tiket WAWASAN. Ridzuan menang kerusi itu pada PRN lalu atas tiket BERSATU, namun mengumumkan keluar parti berkenaan pada 11 Julai lalu.

Di JEMPOL, pemimpin PN, BN dan PH hadir mengiringi calon masing-masing ke Kompleks Pentadbiran Daerah Jempol bagi proses penamaan calon DUN Serting, Palong, Jeram Padang dan Bahau.

Antara pemimpin PN yang hadir ialah Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang dan Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Datuk Awang Hashim serta Datuk Seri Shahidan Kassim.

BN pula diwakili Setiausaha Agung UMNO, Datuk Asyraf Wajdi Dusuki; Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT), Datuk Seri Mohd Sharkar Shamsudin bersama Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad, Datuk Ramli Mohd Nor dan Datuk Zahida Zarikh Khan.

Antara pemimpin PH yang hadir ialah Pengarah Komunikasinya, Datuk Seri Fahmi Fadzil, selain pemimpin DAP, Teo Nie Ching dan Tan Kok Wai.

Video Terkini

Berita Berkaitan