TAMPIN: Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Johari Abdul Ghani dan Bendahari UMNO, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor tiba di Dewan Perdana Tampin, di sini, pagi ini bagi mengiringi calon Barisan Nasional (BN) yang bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan ke-16.
Kehadiran kedua-dua pemimpin bersama Ahli Parlimen Tampin, Datuk Mohd Isam Mohd Isa itu bagi mengiringi penyandang Dewan Undangan Negeri (DUN) Gemencheh, Suhaiman Bizar serta calon BN bagi DUN Repah, Koh Kim Swee.
@bharianmy Johari Ghani, Ku Nan iringi dua calon BN di Tampin #beritaditiktok ♬ original sound - Berita Harian
Kira-kira jam 8.30 pagi, Johari dan Tengku Adnan atau Ku Nan turut menyertai perarakan sejauh 400 meter bersama ratusan jentera serta penyokong BN menuju ke pusat penamaan calon.
Proses penamaan calon berlangsung dari jam 9 pagi hingga 10 pagi.
Pada PRN Negeri Sembilan ke-15, Suhaiman memenangi kerusi DUN Gemencheh selepas menewaskan calon Perikatan Nasional (PN), Tengku Abdullah Tengku Rahman, dalam saingan satu lawan satu dengan memperoleh 8,905 undi dan majoriti 2,434 undi.
Dalam saingan kali ini, Suhaiman dijangka berdepan cabaran daripada Naib Pengerusi AMANAH Negeri Sembilan yang mewakili Pakatan Harapan (PH), Datuk Abd Latif A. Tambi.
Di DUN Repah pula, BN mempertaruhkan muka baharu, Koh Kim Swee, untuk mencabar penyandang empat penggal daripada Pakatan Harapan (PH), Veerapan Superamaniam, yang memegang kerusi itu hampir dua dekad, sejak 2008.
Sementara itu, turut di DUN Gemas, penyandang Ridzuan Ahmad dijangka kembali bertanding atas tiket Wawasan Negara (WAWASAN).
Ridzuan yang memenangi kerusi itu pada PRN lalu atas tiket BERSATU dengan 11,653 undi mengumumkan keluar daripada parti berkenaan pada 11 Julai lalu.
























