SEREMBAN: Ketibaan calon Barisan Nasional (BN) di pusat penamaan calon di pejabat Majlis Bandaraya Seremban Forest Heights, di sini, disambut meriah dengan sorakan nyanyian dan paluan gendang oleh penyokong.
Kumpulan penyokong BN yang memakai baju biru dilihat berkumpul seawal jam 8 pagi tadi, selain penyokong BERSATU yang mengiringi Ketua Penerangan parti itu, Datuk Tun Faisal Ismail Aziz yang bertembung dengan penyokong Perikatan Nasional (PN).
Ada beberapa khemah dibuka menjual barang dagangan parti logo PN berhampiran pusat penamaan calon.
Di REMBAU, lebih 100 anggota dan pegawai polis dilihat berkawal di sekitar Dewan Seri Rembau bagi memastikan proses penamaan calon berjalan lancar.

Tinjauan mendapati anggota polis ditempatkan di beberapa lokasi strategik termasuk laluan masuk ke pusat penamaan calon, kawasan penyokong parti politik dan laluan utama.
Calon serta penyokong Pakatan Harapan (PH), BERSATU dan PN juga berkumpul di sekitar dewan dengan suasana terkawal dan penyokong parti berada di kawasan yang ditetapkan.
Ketibaan calon BN bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau, Datuk Seri Mohamad Hasan meriah dengan persembahan tarian naga dan pukulan gendang serta sorakan daripada penyokong.
Timbalan Pengerusi BN merangkap Timbalan Presiden UMNO itu tiba di pusat penamaan calon di Dewan Sri Rembau pada jam 8.55 pagi, diiringi Pengerusi BN, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.
Turut serta, calon BN bagi DUN Chembong, Datuk Zaifulbahri Idris dan Suhaimi Aini (Kota), manakala calon PN yang bertanding kerusi DUN Paroi, Kamarul Ridzuan Mohd Zin tiba pada jam 8.40 pagi.
Terdahulu, calon PH bagi empat DUN di bawah Parlimen Rembau tiba pada jam 8.15 pagi. Mereka diiringi Naib Presiden PKR, Chang Lih Kang dan sekumpulan penyokong.
Di PORT DICKSON, calon PN, Abdul Fatah Zakaria yang juga bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bagan Pinang yakin dapat mengekalkan kerusi itu yang dimenanginya pada Pilihan Raya Umum lalu.
Calon PN yang juga bekas tentera itu diiringi Pengerusi PN, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar bersama beberapa pimpinan gabungan berkenaan yang datang dari seluruh negara.

Keadaan tenang dan terkawal walaupun beberapa lokasi dipenuhi penyokong parti di luar Pejabat Daerah Port Dickson sebelum proses penamaan calon untuk semua lima kerusi DUN di bawah Parlimen Port Dickson bermula.
Turut kelihatan, Tan Sri Annuar Musa dan Ahli Parlimen Tangga Batu, Bakri Jamaludin.
Di JELEBU, empat calon PH bagi DUN Chennah, Pertang, Sungai Lui dan Klawang, masing-masing Anthony Loke Siew Fook, Mohd Umry Abdul Khois, Zainal Fikri Abd Kadir dan Bakri Sawir tiba diiringi beberapa pemimpin utama PH.
Antara pemimpin berkenaan, Presiden AMANAH, Datuk Seri Mohamad Sabu; Penasihat DAP, Lim Guan Eng dan Pengerusi DAP Kebangsaan, Gobind Singh Deo.

Ketibaan mereka turut diiringi dengan paluan gendang oleh para penyokong PH, manakala calon BN tiba tidak lama selepas itu kira-kira jam 8.55 pagi, masing-masing Datuk Seri Jalaluddin Alias (Pertang), Siow Kong Choon (Chennah) dan Datuk Mohd Razi Mohd Ali (Sungai Lui).
Ketiga-tiga calon BN itu diiringi Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail.
























