JOHOR BAHRU: Lebih 10 kenderaan yang membawa Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang akan mengangkat sumpah jawatan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (EXCO) Negeri Johor mula memasuki pekarangan Istana Bukit Serene, di sini jam 9 pagi.
Turut kelihatan kenderaan ADUN Paloh yang juga bekas Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Perdagangan, Hal Ehwal Pengguna dan Sumber Manusia Johor, Lee Ting Han.
Ting Han yang disapa media sebelum memasuki pekarangan istana tersenyum apabila ditanya mengenai jawatan EXCO yang bakal disandangnya.
"Baik…baik…terima kasih semua," katanya sambil melambai ke arah petugas media yang hadir membuat liputan.
Majlis Istiadat Mengangkat Sumpah jawatan berkenaan dijadualkan berlangsung di hadapan Pemangku Sultan Johor Tunku Mahkota Ismail, hari ini.
Majlis istiadat yang dijadualkan jam 9.30 pagi itu akan dihadiri Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi; Yang Dipertua Jumaah Majlis Diraja Johor, Datuk Dr Rahim Ramli dan Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Mohammed Ridha Abd Kadir.
Ahad lalu, Onn Hafiz yang juga ADUN Machap mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar bagi penggal kedua selepas Barisan Nasional (BN) melakar kemenangan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) ke-16.
PRN Johor yang berlangsung Sabtu lalu menyaksikan BN memenangi 48 daripada 56 kerusi DUN, sekali gus diberi mandat membentuk kerajaan negeri bagi penggal baharu.
























