BH Online
Ringkasan Berita

BH raih 4 anugerah MPI-PETRONAS

KUALA LUMPUR: Berita Harian meraih empat anugerah pada Malam Wartawan Malaysia 2026 dan Hadiah Kewartawanan Malaysia MPI-PETRONAS 2025 malam ini.
BH raih 4 anugerah MPI-PETRONAS

Pengarang Kumpulan NCA Rangkaian Televisyen MPB, Azhari Muhidin (empat dari kiri) bersama Timbalan Pengarang Urusan Kumpulan NCA MPB, Farrah Naz Karim (tengah) bergambar dengan pengarang kanan akhbar kumpulan NSTP dan barisan pemenang pada Malam Wartawan Malaysia 2026 di Hotel Majestic, Kuala Lumpur. NSTP/AIZUDDIN SAAD

KUALA LUMPUR: Berita Harian meraih empat anugerah pada Malam Wartawan Malaysia 2026 dan Hadiah Kewartawanan Malaysia MPI-PETRONAS 2025 malam ini.

Daripada empat pengiktirafan itu, satu Anugerah Emas diraih melalui pereka grafik BH, Khairul Faizi Khalid Ayeop, untuk Kategori Reka Letak Halaman Terbaik menerusi karya bertajuk Misi Flotilla.

Khairul Faizi membawa pulang hadiah wang tunai RM10,000, sijil penghargaan dan trofi.

Sementara Ketua Unit Grafik BH, Muhamad Shahrul Nizam Manshor meraih Anugerah Perak bagi kategori sama menerusi karya Pilihan Rakyat Sabah, sekali gus membawa pulang hadiah wang tunai RM3,000 dan sijil penghargaan.

Kejayaan itu mengiktiraf sentuhan kreatif serta keupayaan pasukan reka bentuk BH dalam menghasilkan persembahan visual berkesan, sekali gus memperkukuh penyampaian kandungan berita kepada pembaca.

Sementara itu, Pengarang Berita BH, Mohd Nazmi Yaakub, meraih Anugerah Gangsa bagi Kategori Penulisan Kolum Terbaik menerusi karya Apakah Kita Akan Belajar Daripada Tragedi Nahas Bas Pelajar UPSI?, Ilmu 'Terlupa Untuk Mati' di Gaza dan Dr Mahathir Melintas Satu Abad Usia, 'Centenarian Politician'.

Beliau membawa pulang hadiah wang tunai RM2,000 serta sijil penghargaan.

BH turut meraih Anugerah Gangsa bagi Kategori Laporan Berita Terbaik menerusi laporan khas bersiri 'Tayar Terbang' hasil karya wartawan Mohd Abdul Illah Hafiz Abdul Aziz dan Noor Atiqah Sulaiman.

Laporan khas itu mengetengahkan isu keselamatan jalan raya dan kelemahan penguatkuasaan industri tayar menerusi beberapa pendedahan termasuk Nahas Akibat 'Tayar Terbang' Umpama Bom Jangka, SPRM Teliti Isu Industri Manipulasi Harga Tayar Bebankan Pengguna, SPRM Gempur Syarikat Disyaki Seludup Tayar, Palsu Dokumen, SPRM Beku, Sita Aset RM83 Juta serta Igauan Ngeri 'Tayar Terbang' Tuntut Ketegasan Penguatkuasaan.

6255849987136754319
Khairul Faizi merangkul Anugerah Emas kategori Reka Letak Halaman Terbaik. - NSTP/AIZUDDIN SAAD
WhatsApp Image 2026-07-17 at 10.16.19 PM
Wakil Bh yang memenangi empat kategori pada Malam Wartawan Malaysia 2026 dan Hadiah Kewartawanan Malaysia MPI-PETRONAS 2025. Dari kiri: Mohd Abdul Illah Hafiz Abdul Aziz, Muhamad Shahrul Nizam Manshor, Khairul Faizi Khalid Ayeop dan Mohd Nazmi Yaakub.

Hadiah Kewartawanan Malaysia (HKM) MPI-PETRONAS 2025 mengiktiraf karya terbaik pengamal media menerusi 21 kategori.

Kira-kira 1,000 tetamu terdiri daripada ketua pengarang, editor, wartawan, pengamal media, wakil kementerian dan agensi kerajaan, syarikat korporat, institusi pengajian tinggi dan rakan strategik industri media hadir pada majlis malam ini.

Majlis disempurnakan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan turut dihadiri Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil.

Hadir sama, Presiden Institut Akhbar Malaysia (MPI), Datuk Yong Soo Heong; Pengarang Urusan Kumpulan Berita dan Hal Ehwal Semasa (NCA) Media Prima Berhad (MPB), Jasbant Singh; Timbalan Pengarang Urusan Kumpulan NCA MPB yang juga Ketua Pengarang New Straitis Times, Farrah Naz Karim dan Pengarang Kumpulan NCA Rangkaian Televisyen MPB, Azhari Muhidin.

Video Terkini

Berita Berkaitan