KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Sungai Buloh, Datuk Seri R Ramanan mengesahkan sudah mengemukakan surat bantahan rasmi kepada Datuk Bandar Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) bagi membantah cadangan pembangunan pusat data di kawasan perumahan Kota Damansara.
Beliau yang juga Menteri Sumber Manusia berkata surat bantahan itu dikemukakan Rabu lalu, namun tiada sebarang maklum balas rasmi diterima daripada MBPJ berhubung bantahan dikemukakan.
"Saya juga ingin menegaskan bahawa Pusat Khidmat Rakyat Parlimen Sungai Buloh tidak pernah dimaklumkan mengenai cadangan pembangunan ini dan tidak pernah dilibatkan dalam sebarang sesi libat urus atau perbincangan yang melibatkan kepentingan rakyat di kawasan Kota Damansara.
"Sebarang pembangunan berskala besar yang berpotensi memberi kesan kepada komuniti setempat seharusnya dilaksanakan secara telus, inklusif dan melibatkan semua pihak berkepentingan, termasuk wakil rakyat kawasan," katanya melalui kenyataan.
Menurut Ramanan, beliau menerima aduan secara langsung daripada penduduk berhubung cadangan pembangunan pusat data itu dan sudah menghubungi penduduk bagi mendengar sendiri pandangan mereka.
"Pusat khidmat saya turut menjalankan semakan dan penelitian terhadap cadangan pembangunan tersebut bagi mendapatkan gambaran yang lebih menyeluruh.
"Hasil penelitian awal mendapati terdapat beberapa perkara wajar diberikan perhatian, khususnya berkaitan kesesuaian lokasi, kesejahteraan komuniti, impak terhadap infrastruktur sedia ada, alam sekitar serta kualiti hidup penduduk," katanya.
Bincang di Mesyuarat Jemaah Menteri
Dalam pada itu, Ramanan memaklumkan isu mengenai pusat data itu juga akan dibawa untuk dibincangkan dalam Mesyuarat Jemaah Menteri untuk memberi perhatian sewajarnya terhadap keperluan mewujudkan garis panduan dan mekanisme yang lebih menyeluruh bagi penempatan pembangunan pusat data, khususnya yang melibatkan kawasan berhampiran penempatan penduduk.
"Saya ingin menegaskan bahawa saya bukan menolak pembangunan atau pelaburan yang mampu merangsang pertumbuhan ekonomi negara.
"Setiap pembangunan mesti dilaksanakan berdasarkan fakta, kajian yang menyeluruh serta proses libat urus yang bermakna dengan semua pihak berkepentingan.
"Saya akan terus memantau perkembangan perkara ini dan memastikan suara penduduk Kota Damansara terus dibawa ke setiap peringkat yang berkaitan sehingga satu penyelesaian yang adil, telus dan berpaksikan kepentingan rakyat dapat dicapai," katanya.
























