KUALA LUMPUR: Kolej Komuniti Jasin mengingatkan orang ramai, termasuk pembekal dan kontraktor, supaya tidak terperdaya dengan tawaran, sebut harga atau urusan perolehan palsu yang menggunakan nama institusi itu.
Pengarah Kolej Komuniti Jasin, Mohamad Kelana Juwit, menegaskan institusi berkenaan menafikan sekeras-kerasnya sebarang pembabitan dengan mana-mana perkara berkait perolehan palsu yang tidak wujud.
Justeru, katanya, pihak kolej berkenaan tidak akan bertanggungjawab atas sebarang kerugian atau implikasi undang-undang akibat transaksi palsu terbabit.
Beliau berkata, ia susulan isu cubaan penipuan membabitkan urusan perolehan dan penyalahgunaan nama serta identiti rasmi kolej itu oleh pihak tidak bertanggungjawab.
"Kami ingin memaklumkan semua urusan perolehan, tender dan sebut harga rasmi kolej hanya dilaksanakan melalui laman web sistem e-Perolehan kerajaan.
"Sebarang urusan di luar sistem itu adalah tidak sah dan tidak diiktiraf," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Sehubungan itu, Mohamad Kelana berkata, pihak kolej berkenaan meminta seluruh warganya, rakan strategik dan pembekal/kontraktor supaya sentiasa berwaspada terhadap sebarang taktik penipuan (scam) atau cubaan menyalahgunakan identiti institusi terbabit.
"Sekiranya anda mengesan, menerima maklumat atau dihubungi oleh mana-mana pihak mencurigakan yang menggunakan nama kolej untuk tujuan perolehan, jangan dedahkan sebarang maklumat peribadi atau korporat.
"Selain itu, jangan melakukan sebarang transaksi kewangan, dan segera melaporkan perkara berkenaan kepada Polis Diraja Malaysia serta pihak pengurusan kolej untuk tindakan lanjut.
"Pihak kolej akan mengambil tindakan undang-undang yang tegas terhadap mana-mana individu atau pihak yang didapati mencemarkan imej dan nama baik institusi ini," katanya.
























