Melaka: Suami isteri sanggup menyewa inap desa di Taman Kris Satria berdekatan Kompleks Penjara Sungai Udang semata-mata untuk memudahkan mereka menyeludup bahan larangan kepada banduan menggunakan dron.
Taktik pasangan berusia berusia 46 dan 27 tahun itu bagaimanapun gagal apabila mereka dicekup polis kelmarin, selepas kegiatan dikesan pihak penjara terbabit.
Ketua Polis Melaka, Datuk Dzulkhairi Mukhtar berkata pihaknya yang menerima maklumat jam 3.10 petang menjalankan serbuan di inap desa terbabit kira-kira jam 4 petang sebelum dua suspek ditahan.
"Hasil pemeriksaan polis merampas beberapa barangan dipercayai mempunyai kaitan kegiatan itu, termasuk peralatan dron, bahan disyaki untuk diseludup, peranti komunikasi serta lain-lain barang berkaitan bagi membantu siasatan.
"Siasatan awal mendapati lelaki berusia 46 tahun mengaku menerbangkan dron bagi meninjau lokasi pendaratan sebelum menyeludup masuk tembakau kepada seorang banduan.
"Kegiatan dipercayai hasil pakatan dengan seorang banduan dan usaha mengesan individu terbabit sedang dijalankan dengan kerjasama pihak Penjara Sungai Udang," katanya melalui kenyataan.
Tambah beliau, semakan rekod mendapati suspek lelaki mempunyai 12 rekod jenayah dan tiga rekod kesalahan dadah dan direman empat hari, manakala isterinya direman sehari bagi membantu siasatan.
Kes disiasat mengikut Seksyen 447 Kanun Keseksaan dan Seksyen 58 Akta Penjara 1995 [Akta 537].
























