JASIN: Datuk Seri Ab Rauf Yusoh mengakui belum melihat sebarang petunjuk ke arah pembentukan kerjasama antara Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) di Melaka seperti yang berlaku di Negeri Sembilan
Ketua Menteri Melaka itu berkata, setakat ini belum dapat melihat bentuk sebenar kerjasama dijalinkan antara kedua-dua gabungan itu di negeri jiran itu.
"Saya tak nampak lagi kerjasama dalam bentuk bagaimana, tetapi saya lihat walaupun ia tidak diterjemahkan dalam pelbagai bentuk, mungkin sudah ada persefahaman yang lebih baik di Negeri Sembilan (tetapi) di Melaka, belum lagi," katanya.
Beliau ditemui demikian selepas menghadiri Program Hari EXCO Bersama Rakyat (HEBAT) di Dewan Datuk Haji Ahmad Ithnin Merlimau, di sini hari ini.
BN dan PN mengesahkan kerjasama di Negeri Sembilan dengan pembahagian kerusi antara kedua-dua gabungan bagi menghadapi PRN di negeri itu.
Melaka bakal menghadapi PRN Ke-16 yang dijangka diadakan dalam tempoh dua bulan lagi.
Ab Rauf berkata, kerajaan negeri tetap menghormati keputusan Pakatan Harapan (PH) untuk tidak lagi bersama pentadbiran negeri dan tidak berhasrat memanjangkan polemik berhubung perkara itu.
"Itu pilihan mereka, kita menerima keputusan itu dengan hati terbuka dan tidak mahu menjadikan perbezaan politik sebagai medan pergaduhan atau serangan peribadi.
"Semua pihak berhak menyuarakan pandangan, namun biarlah secara profesional dan demi kepentingan rakyat," katanya.
Katanya, sepanjang hampir tiga tahun mentadbir negeri bersama dalam Kerajaan Perpaduan, hubungan antara parti terbabit berjalan dengan baik sebelum timbul perbezaan pendirian dalam beberapa isu.
Terdahulu, DAP Melaka mengumumkan menarik diri daripada pentadbiran kerajaan negeri selepas tidak bersetuju dengan pindaan Perlembagaan Negeri berkaitan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) lantikan.
























