PADANG RENGAS: Angkatan Muda Keadilan (AMK) menggesa Pakatan Harapan (PH) mengkaji semula kerjasama politik dengan Barisan Nasional (BN) dalam Kerajaan Perpaduan di peringkat Pusat susulan percaturan politik terkini khususnya di Negeri Sembilan.
Ketua AMK, Muhammad Kamil Abdul Munim berkata percaturan politik terbaharu seperti berlaku di Negeri Sembilan yang menyaksikan tindakan BN yang secara terbuka menjalinkan kerjasama politik dengan Perikatan Nasional (PN) mencetus persoalan tentang keikhlasan BN.
Beliau berkata situasi sedemikian dikhuatiri menyumbang ketidakstabilan politik yang seterusnya melarikan fokus kerajaan dalam usaha membangunkan ekonomi di saat krisis global.
"Kalau dia nak berkawan kita kawan, kalau dia nak lawan kita lawan… saya rasa kalau dia (BN) boleh lakukan hal sama kepada kita di negeri, maka kita pun boleh lakukan yang sama di Persekutuan.
"Kalau dia (BN) memilih bermusuh dengan kita, kita pun boleh memilih untuk bermusuh dengan dia dan memberikan tumpuan untuk fokus kepada usaha membangun ekonomi," katanya selepas menghadiri Program Pemerkasaan Kelab Guru dan Staf serta Penyampaian Sumbangan Sekolah-sekolah Parlimen Padang Rengas di Dewan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tun Perak di sini hari ini.
Terdahulu, gesaan sama disuarakan Ketua Pemuda AMANAH, Mohd Hasbie Muda yang berpandangan BN tidak mempunyai alasan untuk terus kekal dalam Kerajaan Perpaduan sekiranya benar wujud kerjasama politik dengan PN.
Muhammad Kamil berkata, tumpuan sepatutnya dialihkan kepada usaha untuk memperkukuh kedudukan ekonomi, namun sebaliknya BN menggunakan kesempatan krisis yang berlaku untuk melakukan percaturan politik.
"Saya fikir wajar untuk kita kaji semula hubungan kerjasama politik kita dalam PH dengan BN kerana kita tak lihat kejujuran sama diberikan di pihak sana, sementara dunia termasuk negara kita berhadapan krisis peringkat global," katanya.
























