KUALA LUMPUR: Parti Amanah Negara (AMANAH) menyuarakan persoalan sama ada Kerajaan Perpaduan akan terus terpelihara atau 'hanya tinggal sejarah' , susulan langkah Barisan Nasional (BN) menjalin kerjasama dengan pesaing politik gabungan itu, Perikatan Nasional (PN).
Presiden AMANAH, Datuk Seri Mohamad Sabu, berkata senario politik semasa memperlihat Kerajaan Perpaduan ketika ini berada di persimpangan dengan pelbagai kemungkinan boleh berlaku.
Beliau berkata, ia bermula dengan langkah BN mengisytiharkan bertanding secara solo di kesemua 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.
"Saya yang mendukung Kerajaan Perpaduan dan Parti Amanah Negara yang berdiri teguh dalam membentuk kerajaan ini kini berada di persimpangan.
"Apakah kerajaan ini akan terus dipelihara, ataupun yang sebaliknya akan berlaku?
"Tetapi kini, persoalan apakah era itu akan tinggal sebagai sejarah apabila Barisan Nasional Johor mengisytiharkan mahu bergerak bersendirian?, "soalnya dalam satu kenyataan hari ini.
Mengulas lanjut, Mohamad Sabu berkata, kemelut politik di Negeri Sembilan turut menguatkan lagi telahan mengenai kerjasama erat sedang terbentuk antara BN dan PN.
"Pertama, sebaik sahaja DUN Johor dibubarkan pada 1 Jun lalu, BN mengisytiharkan bahawa mereka akan bertanding di kesemua 56 kerusi secara solo.
"Kemudian diikuti pula kemelut yang berlaku di Negeri Sembilan. Paling mengejutkan, 14 ADUN (Ahli Dewan Undangan Negeri) UMNO dan BN menarik sokongan terhadap Menteri Besar Negeri Sembilan, sekali gus membuka ruang kepada kemungkinan kerjasama dengan ADUN pembangkang, termasuk PAS, untuk mengambil alih kerajaan negeri.
"Menuju hari penamaan calon bagi PRN Negeri Sembilan, kerjasama BN dan PN semakin jelas apabila mereka saling melengkapi 36 kerusi DUN yang akan dipertandingkan," katanya.
Mengimbas detik awal kerjasama politik terbentuk dengan BN yang sekian lama menjadi musuh politik PH, Mohamad berkata, ia bermula selepas Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) susulan tiada mana-mana parti memperoleh majoriti mencukupi untuk membentuk kerajaan.
Katanya, beberapa siri Pilihan Raya Kecil (PRK) bermula dengan PRK Parlimen Pulai dan DUN Simpang Jeram membuka pintu kerjasama erat semua parti komponen dalam Kerajaan MADANI termasuk BN.
"Apabila tiba PRK DUN Nenggiri yang ditandingi calon UMNO dan BN, kita daripada PH turun bersama-sama dan berhempas pulas sehingga kerusi DUN itu berjaya dirampas serta dimenangi oleh UMNO dan BN, mewakili Kerajaan Perpaduan.
"Begitulah juga dalam PRK DUN Mahkota. Pada peringkat awal, terdapat sedikit perselisihan, siapa yang layak bertanding dan parti mana yang patut meletakkan calon. Akhirnya, UMNO dan BN bertanding, manakala PH bekerja keras sehingga calon Kerajaan Perpaduan memperoleh majoriti yang cukup besar.
"Begitulah eratnya perpaduan yang telah dibentuk. Walaupun dahulunya kita bermusuhan, apabila berada dalam Kerajaan Perpaduan, kita saling membantu," katanya.
























