SEREMBAN: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akan membuka bilik gerakan khas bagi membolehkan orang ramai menyalurkan maklumat serta aduan berkaitan rasuah dan salah guna kuasa sepanjang Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan.
SPRM melalui kenyataan memaklumkan, bilik gerakan akan beroperasi 24 jam bermula esok hingga 2 Ogos depan di Pejabat SPRM Negeri Sembilan di Jalan Dato' Kelana Makmor, di sini.
Menurutnya, orang ramai boleh menyalurkan maklumat atau aduan berkaitan rasuah dan salah guna kuasa sepanjang proses pilihan raya melalui e-mel prn2026.n9@sprm.gov.my.
"Orang ramai juga boleh menghubungi talian pejabat SPRM Negeri Sembilan di 06-762 5446, bilik gerakan di 06-762 0207 atau talian 24 jam/WhatsApp di 011-3700 9038," katanya.
SPRM turut mengingatkan semua calon, parti politik, penyokong serta mana-mana pihak yang terbabit dalam PRN Negeri Sembilan Ke-16 supaya tidak melakukan sebarang perbuatan yang melanggar undang-undang dan peraturan pilihan raya.
"Peringatan itu selaras peruntukan Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 serta Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 (Pindaan 2012)," katanya.
























