KUALA LUMPUR: Komitmen sektor korporat dalam membantu golongan memerlukan terus diperkukuh melalui sumbangan tujuh komputer riba kepada pelajar asnaf Program Ijazah Sarjana Muda Pengurusan Hartanah Universiti Teknologi MARA (UiTM) Shah Alam.
Program tanggungjawab sosial korporat itu dilaksanakan Ameran Motor bagi membantu pelajar memerlukan untuk belajar tanpa berdepan sebarang halangan yang boleh menghalang minat untuk berjaya.
Pengarah Eksekutif Korporat Ameran Motor, Azman Hazizi, berkata bagi kebanyakan graduan, majlis konvokesyen menandakan berakhirnya perjalanan sebagai mahasiswa, namun baginya sebagai alumni, hubungan dengan UiTM tidak pernah terputus.
"Program CSR (tanggungjawab sosial korporat) itu menjadi permulaan kepada aspirasi jangka panjang Ameran Motor untuk memperkukuh kerjasama dengan institusi pengajian tinggi dalam melahirkan graduan yang bersedia memasuki dunia pekerjaan.
"Program ini mempunyai nilai sentimental yang sukar digambarkan kerana UiTM adalah institusi yang menjadi asas kepada pembentukan sahsiah, ilmu dan prinsip kepimpinan yang saya pegang sehingga hari ini.
"Saya sentiasa percaya pendidikan adalah pelaburan paling bernilai. Apa sahaja yang saya capai hari ini bermula daripada peluang menimba ilmu di universiti ini dan kini menjadi tanggungjawab untuk kembali menyumbang serta membuka lebih banyak ruang kepada generasi selepas saya," katanya pada Majlis Penyerahan Komputer Riba Kepada Pelajar Asnaf di UiTM Shah Alam, hari ini.
Turut hadir, Dekan Fakulti Alam Bina UiTM, Dr Emma Marinie Ahmad Zawawi dan Pengarah Urusan Ameran Motor Sdn Bhd, Datuk Ameran Ismail.
Azman yang juga graduan Ijazah Sarjana Muda Perancangan dan Ukur UiTM lapan tahun lalu berkata, program CSR itu bertujuan berkongsi rezeki serta membuka lebih banyak peluang kepada generasi pelapis.
Ameran Motor yang beribu pejabat di Segamat, Johor, memulakan operasi sejak 2002 dalam industri automotif import.
Sementara itu, penerima sumbangan, Muhammad Izzadi Zulkarnain, 24, menzahirkan rasa syukur kerana komputer riba yang diterimanya amat membantu melancarkan urusan pembelajaran.
Pelajar semester empat Ijazah Sarjana Muda Pengurusan Hartanah itu berkata, sebelum ini beliau terpaksa meminjam komputer riba rakan selepas komputer riba miliknya rosak apabila baterinya meletup.
"Saya dimaklumkan oleh pensyarah mengenai bantuan komputer riba kepada pelajar yang memerlukan dan alhamdulillah saya terpilih.
"Sebelum ini saya memang tidak mempunyai komputer riba sendiri. Saya hanya meminjam komputer riba rakan untuk menyiapkan tugasan dan laporan, jadi agak sukar untuk belajar," katanya.
Sementara itu, Emma Marinie berkata, UiTM merakamkan penghargaan kepada Ameran Motor atas keprihatinan berkongsi rezeki dengan pelajar yang memerlukan.
Beliau berkata, Fakulti Alam Bina UiTM mempunyai lebih 5,600 pelajar dengan kira-kira 4,000 pelajar di kampus Shah Alam dan lebih 1,600 lagi di kampus Puncak Alam.
"Sebagai fakulti terbesar di UiTM, kira-kira 70 peratus pelajar terdiri daripada golongan B40 dan terdapat juga ramai pelajar dalam kategori asnaf yang memerlukan bantuan.
"Segala bentuk sumbangan yang diterima akan disalurkan kepada pelajar yang benar-benar layak berdasarkan rekod universiti. UiTM juga sentiasa menjalinkan hubungan erat dengan pihak industri bagi membuka lebih banyak peluang kerjasama, termasuk membantu kebajikan pelajar yang bakal menjadi tenaga profesional dalam industri," katanya.
























