JASIN: Kerajaan negeri tidak akan mengisi kekosongan jawatan EXCO, Timbalan EXCO, Timbalan Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN), ahli majlis pihak berkuasa tempatan (PBT) serta Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) yang ditinggalkan wakil rakyat Pakatan Harapan (PH).
Ketua Menteri, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh, berkata semua tugas dan tanggungjawab yang sebelum ini dipikul penyandang jawatan berkenaan akan diagihkan kepada anggota pentadbiran sedia ada bagi memastikan kelancaran pentadbiran negeri.
Beliau berkata, kerajaan negeri tidak bercadang membuat sebarang pelantikan baharu sehingga Pilihan Raya Negeri (PRN) diadakan.
"Kerajaan negeri memutuskan semua kekosongan jawatan berkenaan daripada wakil PH tidak akan diisi.
"Pentadbiran kerajaan negeri akan diteruskan seperti biasa dan semua urusan akan diselaraskan oleh barisan kepimpinan sedia ada sehingga PRN," katanya selepas menghadiri Program Hari EXCO Bersama Rakyat (HEBAT) di Dewan Darul Haji Ahmad Ithnin Merlimau, di sini hari ini.
Ab Rauf berkata, keputusan itu tidak akan menjejaskan penyampaian perkhidmatan kepada rakyat kerana setiap portfolio akan terus berfungsi seperti biasa.
Katanya, keutamaan kerajaan negeri ketika ini adalah memastikan segala agenda pembangunan serta kebajikan rakyat diteruskan tanpa gangguan sehingga mandat baharu diperoleh menerusi PRN.
Semalam, PH Melaka memutuskan untuk menarik sokongan sepenuhnya terhadap kerajaan negeri pimpinan Abu Rauf.
Ia termasuk pemegang jawatan lain seperti Ahli Majlis PBT dan Ahli JPKK di seluruh negeri.
Sebelum ini, lima Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) gabungan itu menarik diri daripada Kerajaan Negeri susulan pendirian menolak pindaan Enakmen Perlembagaan Negeri Melaka bagi mewujudkan jawatan ADUN lantikan.
Keputusan itu dicapai dalam mesyuarat kepimpinan PH Melaka bersama lima ADUN gabungan berkenaan.
























