JOHOR BAHRU: Barisan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (EXCO) Johor yang baharu selepas Barisan Nasional (BN) melakar kemenangan bergaya dengan membolot sebanyak 48 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) ke-16, terus menjadi teka-teki apabila majlis istiadat mengangkat sumpah jawatan itu telah ditangguhkan ke esok.
Majlis istiadat itu pada asalnya dijadualkan berlangsung di Istana Bukit Serene di sini, hari ini, namun tiada perincian berhubung alasan penangguhannya, setakat ini.
Pada Ahad lalu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Machap, Datuk Onn Hafiz Ghazi yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) Johor, mengangkat sumpah jawatan sebagai Menteri Besar bagi penggal kedua berturut-turut.
Perkara berkenaan sama sekali tidak mengejutkan kerana jelas itulah kehendak rakyat Johor yang membuat keputusan memberikan mandat kemenangan besar kepada BN pada PRN, Sabtu lalu.
Ia antara lain memberi gambaran bahawa rakyat berpuas hati dengan kepimpinan Onn Hafiz dan mahu beliau untuk terus kekal mentadbir Kerajaan Johor.
Bagaimanapun, persoalannya sekarang ialah siapa yang akan membarisi jentera EXCO bagi membantu Onn Hafiz memastikan pentadbiran penggal baharu kini terus cemerlang dan memenuhi harapan diamanahkan oleh rakyat.
Pada penggal 2022-2026, seramai 11 EXCO membarisi pentadbiran Kerajaan Johor diterajui Onn Hafiz, yang mana keseluruhan mereka (kecuali Onn Hafiz) adalah muka baharu dengan kebanyakannya merupakan orang muda.
Sekiranya portfolio pentadbiran sebelum ini dikekalkan, maka jawatan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat sudah pasti akan menampilkan EXCO baharu.
Ia berikutan penyandangnya, Khairin-Nisa Ismail @ Md On tidak bertanding mempertahankan kerusi DUN Serom pada PRN kali ini.
Pada masa sama, Alwiyah Talib yang kembali menyertai UMNO dan berjaya mempertahankan kerusi DUN Endau atas tiket BN, dilihat berpotensi mengisi kekosongan portfolio itu.
Bagaimanapun, Chan San San (BN-MCA) yang berjaya merampas kerusi DUN Johor Jaya daripada Pakatan Harapan (PH-DAP), juga menjadi antara nama wakil rakyat wanita yang disebut-sebut bagi memegang portfolio berkenaan.
Wakil rakyat berpengalaman, Datuk Seri Dr Adham Baba yang kembali bertanding pada PRN Johor ke-16 dan memenangi kerusi DUN Pasir Raja, turut dilihat berkemungkinan akan mendapat tempat dalam senarai EXCO penggal ini.
Beliau dijangka memegang portfolio berkaitan kesihatan sejajar kelayakannya sebagai seorang doktor perubatan, malah pernah memegang jawatan Menteri Kesihatan dalam Kabinet.
Seterusnya, nama lain yang turut disebut-sebut untuk membarisi EXCO baharu ialah ADUN Benut, Datuk Mohd Sumali Reduan yang mungkin akan dilantik mengisi portfolio sukan atas kapasiti beliau sebagai Presiden Persekutuan Sepaktakraw Malaysia (PSM).
Menurut beberapa sumber, kebanyakan penyandang EXCO dijangka dikekalkan pada penggal pentadbiran kali ini, manakala segelintir berkemungkinan akan digugurkan.
Bagaimanapun, sama ada penyandang EXCO yang dikekalkan itu akan diberi amanah portfolio sama atau berubah, masih belum ada jawapan.
Antara penyandang EXCO yang disebut-sebut berpotensi dikekalkan ialah ADUN Bukit Permai, Datuk Mohd Jafni Md Shukor yang sebelum ini mengisi portfolio Perumahan dan Kerajaan Tempatan; ADUN Larkin, Mohd Hairi Mad Shah (Belia dan Sukan, Pembangunan Usahawan dan Koperasi); ADUN Paloh, Lee Ting Han (Pelaburan, Perdagangan, Hal Ehwal Pengguna dan Sumber Manusia); ADUN Yong Peng, Ling Tian Soon (Kesihatan dan Alam Sekitar); serta ADUN Semerah, Mohd Fared Mohd Khalid (Hal Ehwal Agama Islam).
Antara penyandang dilihat berkemungkinan akan digugurkan pula ialah ADUN Kemelah, K Raven Kumar yang merupakan EXCO Perpaduan, Warisan dan Budaya sebelum ini; ADUN Tanjung Surat, Aznan Tamin (Pendidikan dan Penerangan); serta ADUN Bukit Pasir, Mohamad Fazli Mohamad Salleh (Kerja Raya, Pengangkutan, Infrastruktur dan Komunikasi).
Sekiranya Raven Kumar yang juga Pengerusi MIC Johor tidak dinamakan semula sebagai EXCO, tempat beliau hampir pasti akan digantikan salah seorang ADUN daripada MIC sama ada ADUN Perling, P Pannir Selvam; ADUN Kahang, V Rugendran; ataupun ADUN Bukit Batu, R Kumaran.
MIC merekodkan kejayaan 100 peratus apabila berjaya memenangi kesemua empat kerusi ditandinginya atas tiket BN pada PRN Johor ke-16.
Sementara itu, ADUN Buloh Kasap, Datuk Zahari Sarip yang menyandang portfolio Pertanian, Industri Asas Tani dan Kemajuan Luar Bandar serta merupakan EXCO kanan kepada Menteri Besar pada penggal lalu pula dikatakan bakal diangkat sebagai Speaker DUN Johor kali ini.
Apapun, teka-teki barisan EXCO Johor yang baharu bakal terjawab pada majlis istiadat mengangkat sumpah jawatan, esok, dan pastinya akan berlangsung selepas ia mendapat perkenan Istana.
























