BH Online
Ringkasan Berita

Wanita UMNO mahu lebih ramai calon, namun akur keputusan parti - Norliza

KUALA NERUS: Wanita UMNO mengakui hanya dua calon wanita diketengahkan Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan masih belum memenuhi harapan mereka, namun menerima keputusan pucuk pimpinan demi memastikan kemenangan parti.
Wanita UMNO mahu lebih ramai calon, namun akur keputusan parti - Norliza

Norliza (empat dari kanan) bersama Wanita UMNO pada perasmian Mesyuarat Perwakilan Wanita UMNO Kuala Nerus hari ini. NSTP/GHAZALI KORI

KUALA NERUS: Wanita UMNO mengakui hanya dua calon wanita diketengahkan Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan masih belum memenuhi harapan mereka, namun menerima keputusan pucuk pimpinan demi memastikan kemenangan parti.

Naib Ketua Wanita UMNO, Datuk Seri Norliza Abdul Rahim, berkata pergerakan itu sememangnya mengharapkan lebih ramai calon wanita diberi peluang selepas membuktikan kemampuan memenangi pilihan raya dan berkhidmat kepada rakyat.

"Sudah tentu wanita menginginkan peratusan calon lebih tinggi kerana kita sudah membuktikan kebolehan dan keupayaan sebagai wakil rakyat.

"Namun, sebagai pemimpin wanita, kita berlapang dada sekiranya itu keputusan terbaik parti. Kita ketepikan soal emosi kerana yang penting ialah memastikan BN menang, tidak kira calon itu wanita atau lelaki," katanya selepas Majlis Perasmian Mesyuarat Perwakilan Wanita UMNO Bahagian Kuala Nerus Kali Ke-38 di Dewan Besar Pusat Rehabilitasi Seberang Takir, di sini, hari ini.

Turut hadir, Ketua UMNO Bahagian Kuala Nerus, Datuk Seri Dr Ahmad Razif Abd Rahman.

Norliza berkata, kejayaan semua calon wanita BN memenangi kerusi masing-masing pada PRN Johor sebelum ini membuktikan penerimaan rakyat terhadap kepimpinan wanita semakin meningkat.

"Di Johor, semua calon wanita menang dengan majoriti yang baik. Itu membuktikan rakyat menerima kepimpinan wanita dan pemimpin peringkat atasan tidak perlu lagi ragu untuk mengetengahkan lebih ramai calon wanita pada PRN akan datang.

"Namun, senario di Negeri Sembilan berbeza. Jumlah kerusi tidak sebanyak Johor. Yang penting calon dipilih mempunyai kekuatan untuk menang dan berkhidmat kepada rakyat," katanya.

Norliza berkata, kejayaan jentera Wanita UMNO membantu kemenangan BN di Johor akan dijadikan formula menghadapi PRN Negeri Sembilan.

Katanya, mereka akan terus berada di barisan hadapan menyantuni pengundi bagi memastikan BN mengekalkan momentum kemenangan.

Mengulas persiapan menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16), beliau berkata, Wanita UMNO akan terus menggesa kepimpinan parti memberi lebih banyak peluang kepada calon wanita berkelayakan.

"Saya yakin Presiden parti mengiktiraf kemampuan wanita. Kita berharap seramai mungkin calon wanita diketengahkan berdasarkan kebolehan mereka, bukan sekadar memenuhi kuota.

"Jangan ragu kerana wanita mampu menggalas amanah dengan baik, kita sentiasa dekat dengan rakyat," katanya.

Video Terkini

Berita Berkaitan