BH Online
Ringkasan Berita

'Saya tak henti berdoa, sebut nama Nurjilya... akhirnya Allah SWT makbulkan, jasad anak ditemui' - Ibu

KOTA KINABALU: “Saya tidak pernah berhenti berdoa. Setiap hari, saya sebut nama anak, Nurjilya... minta kepada Allah SWT supaya tunjukkan di mana dia berada. Akhirnya, Allah SWT makbulkan doa saya... jasad anak saya ditemui.”
'Saya tak henti berdoa, sebut nama Nurjilya... akhirnya Allah SWT makbulkan, jasad anak ditemui' - Ibu

Keratan berita disiarkan BH Online

KOTA KINABALU: "Saya tidak pernah berhenti berdoa. Setiap hari, saya sebut nama anak, Nurjilya... minta kepada Allah SWT supaya tunjukkan di mana dia berada. Akhirnya, Allah SWT makbulkan doa saya... jasad anak saya ditemui."

Demikian luahan pilu Normaida Husin, 32, ibu kepada Nurjilya Abdullah, 10, yang dilaporkan hilang sejak 13 Julai lalu sebelum mayatnya ditemui dalam cerun semak berhampiran sebuah rumah dalam pembinaan di Kampung Numbak, Sepanggar, kelmarin.

Kanak-kanak itu dipercayai menjadi mangsa bunuh dengan mayatnya dijumpai dalam keadaan mereput sehingga mukanya tidak lagi dapat dicam.

Berkongsi lanjut, Normaida menyifatkan Nurjilya yang juga anak ketiga daripada lima beradik, sebagai seorang anak yang baik, rajin mengaji, tidak pernah culas menunaikan solat, serta penyayang terhadap adik-beradiknya.

"Nurjilya adalah seorang anak yang baik dan mendengar cakap. Dia juga rajin mengaji serta solat dan selalu bermain dengan adik-adiknya. Saya memang sayang sangat dengan arwah," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Normaida memaklumkan pada 13 Julai lalu, beliau keluar bekerja seperti biasa sebagai pencuci di Wisma Merdeka sebelum pulang kira-kira jam 5 petang dan mendapati Nurjilya tiada di rumah.

"Saya terus mencarinya di sekitar kampung bersama ahli keluarga hingga lewat malam tetapi masih tidak jumpa," katanya.

Normaida berkata, usaha mencari Nurjilya diteruskan pada keesokan hari sebelum beliau membuat laporan polis kira-kira jam 6 petang 14 Julai lalu.

"Pada 15 Julai lalu, polis mengeluarkan hebahan orang hilang pada sebelah pagi sebelum usaha pencarian diteruskan dengan bantuan polis, ahli keluarga dan penduduk kampung.

"Sepanjang tempoh itu, saya tidak putus-putus berdoa. Setiap kali berdoa, saya menyebut nama Nurjilya dan minta kepada Allah SWT supaya temukan anak saya.

"Alhamdulillah, akhirnya Allah SWT memakbulkan doa saya. Kira-kira jam 10.30 malam kelmarin, jasad Nurjilya ditemui," katanya sambil menahan sebak.

Normaida berkata, beliau bagaimanapun tidak mengenali rapat dua individu yang ditahan bagi membantu siasatan, namun mengetahui mereka tinggal di kawasan kampung yang sama.

"Saya cuma mahu keadilan ditegakkan. Apa yang berlaku pada anak saya amat menyedihkan.

"Saya berharap mereka yang bertanggungjawab akan menerima hukuman setimpal," katanya.

Terdahulu, misteri kehilangan Nurjilya sejak 13 Julai lalu berakhir dengan tragedi apabila mayatnya ditemui dalam kawasan cerun semak berhampiran sebuah rumah dalam pembinaan di Kampung Numbak, kira-kira jam 10.30 malam kelmarin.

Mayat mangsa dijumpai dalam keadaan mereput sehingga bahagian muka tidak dapat lagi dicam.

Bagaimanapun, pengecaman dibuat oleh ibunya berdasarkan pakaian yang dipakai Nurjilya ketika dilaporkan hilang.

Pemangku Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Superintendan Syed Lot Syed Abdul Rahman, dilaporkan berkata hasil bedah siasat mendapati punca kematian dipercayai akibat kecederaan pada bahagian muka dan belakang kepala yang disyaki disebabkan hentakan menggunakan objek keras serta tumpul.

Hasil siasatan, polis menahan dua lelaki berusia 39 dan 42 tahun bagi membantu siasatan, termasuk motif kejadian, mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

Video Terkini

Berita Berkaitan