KUALA LUMPUR: Jabatan Meteorologi Malaysia (METMalaysia) mengeluarkan amaran ribut petir, hujan lebat dan angin kencang melanda beberapa kawasan di 10 negeri hingga jam 5 petang ini.
Menerusi amaran dikeluarkan pada jam 2.15 petang, METMalaysia memaklumkan, keadaan cuaca itu dijangka berlaku di seluruh Perlis, Pulau Pinang, Perak, Kelantan, Selangor, selain Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya.
Di Kedah, kawasan yang diramal terjejas meliputi daerah Kubang Pasu, Kota Setar, Pokok Sena, Padang Terap, Yan, Pendang, Kuala Muda, Sik, Baling, Kulim dan Bandar Baharu.
Bagi Terengganu, amaran dikeluarkan untuk kawasan Besut, Setiu, Kuala Nerus dan Hulu Terengganu, manakala Pahang membabitkan Tanah Tinggi Cameron, Maran, Kuantan, Pekan dan Rompin.
Amaran sama turut dikeluarkan bagi Johor di Tangkak, Segamat, Muar, Batu Pahat, Kluang dan Mersing.
Sabah diramal mengalami cuaca sama di kawasan Pedalaman (Sipitang, Tenom, Nabawan, Keningau dan Tambunan), Pantai Barat (Putatan, Penampang, Kota Kinabalu, Tuaran, Ranau dan Kota Belud), Tawau dan Kudat (Kota Marudu).
Amaran dikeluarkan apabila terdapat tanda menunjukkan ribut petir dengan intensiti hujan melebihi 20 milimeter sejam (mm/jam) yang hampir atau dijangka berlaku melebihi sejam.
"Ribut petir adalah amaran jangka pendek yang sah dalam tempoh tidak melebihi enam jam untuk satu-satu keluaran," katanya dalam kenyataan di platform Facebook.
























