KUALA LUMPUR: Network School di Forest City, Johor yang terbabit dengan kontroversi kerana didakwa turut membabitkan warga Israel yang menggunakan pasport negara kedua, mengumumkan penangguhan semua rancangan pelaburan baharu di Malaysia sehingga mendapat jaminan kerajaan.
Pengasas Network School, Balaji Srinivasan berkata, dakwaan yang dikenakan ke atasnya disifatkan sebagai berita palsu sehingga mencetuskan siasatan pihak berkuasa terhadap Network School.
Beliau berkata, langkah itu turut menjejaskan rancangan pelaburan kebanyakan rakan mereka termasuk eksekutif dan pelabur firma teknologi global yang dibawa ke Forest City.
Katanya, pihak berkuasa Malaysia menjalankan pemeriksaan di kampus Network School pada 14 Julai lalu sebelum mengesahkan semua dokumen perjalanan peserta adalah teratur.
"Kami sudah melabur lebih RM100 juta di Malaysia, mewujudkan pekerjaan kepada puluhan rakyat Malaysia, wajah serta nama kami dikenali.
"Eksekutif serta pekerja Malaysia kami berhak mendapat kepercayaan berbanding pembuli internet yang tidak dikenali," katanya menerusi hantaran di platform X, hari ini.
Balaji berkata, sekiranya Malaysia masih mahu menarik pelaburan teknologi global, pihaknya memohon mengadakan pertemuan dengan Pejabat Perdana Menteri bagi membincangkan memorandum persefahaman (MoU) antara Network School dan kerajaan Malaysia.
Katanya, melalui pendekatan itu, Network School komited mematuhi semua undang-undang serta menghormati kedaulatan Malaysia, manakala kerajaan dapat membantu memulihkan keyakinan pelabur terhadap negara ini sebagai destinasi pelaburan teknologi.
"Bagaimanapun, sekiranya Malaysia tidak lagi mahukan pelaburan daripada Network School dan rakan pelabur, pihak kami akan menghormati keputusan itu serta mengalihkan modal pelaburan ke negara lain," katanya.
Terdahulu, Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Zakaria Shaaban dilaporkan berkata, seramai 256 daripada 266 warga asing yang diperiksa susulan isu operasi Network School di Forest City, didapati menggunakan Pas Lawatan Sosial.
Katanya, baki 10 warga asing pula memegang Pas Lawatan Ikhtisas (PLIK) di bawah kategori Nomad.
Kelmarin, Zakaria dilaporkan berkata, pihaknya belum menemukan bukti yang dapat mengesahkan dakwaan berhubung kehadiran individu warganegara Israel dalam program Network School.
Bagaimanapun, katanya Imigresen akan meneruskan siasatan dan berkongsi dapatan dengan agensi lain yang terbabit.
























