BH Online
Ringkasan Berita

'Sudah tangguh setahun, takkan kita nak lanjutkan setahun lagi untuk naik tarif air'- Kon Yeow

BUTTERWORTH: Kerajaan Pulau Pinang menegaskan tidak akan menangguhkan lagi pelaksanaan kenaikan tarif air sebanyak 20 sen kepada 62 sen bagi setiap meter padu selepas tempoh penangguhan hampir setahun diberikan.
'Sudah tangguh setahun, takkan kita nak lanjutkan setahun lagi untuk naik tarif air'- Kon Yeow

Kon Yeow (tengah) meninjau sistem perparitan ketika mengadakan Jelajah Ketua Menteri di Kawasan Ahli Dewan Undangan Negeri (KADUN) Bagan Dalam di Taman Mewah, Butterworth. NSTP/ Nur Izzati Mohamad

BUTTERWORTH: Kerajaan Pulau Pinang menegaskan tidak akan menangguhkan lagi pelaksanaan kenaikan tarif air sebanyak 20 sen kepada 62 sen bagi setiap meter padu selepas tempoh penangguhan hampir setahun diberikan.

Ketua Menteri, Chow Kon Yeow, berkata isu itu sudah dibangkitkan pada Mesyuarat Dewan Undangan Negeri (DUN) Mei lalu dan penjelasan mengenainya sudah diberikan olehnya sendiri termasuk EXCO berkaitan.

Beliau berkata, Kerajaan Persekutuan melalui Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) sudah menetapkan tarif air baharu sejak 30 Julai tahun lalu, manakala beberapa negeri lain turut menguatkuasakan kadar berkenaan.

"Sepatutnya tarif baharu itu boleh dilaksanakan di Pulau Pinang pada Ogos tahun lalu, namun kerajaan negeri mengambil keputusan menangguhkannya sehingga 1 Julai lalu. Tempoh penangguhan itu sudah hampir setahun.

"Jadi, kita akan melaksanakan keputusan itu, tiada lagi pertimbangan untuk menangguhkan kerana perkara ini sudah dipertimbangkan sebelum ini. Kita beri lanjutan (tidak naik tarif) hampir setahun, takkan kita hendak beri satu tahun lagi," katanya selepas Jelajah Ketua Menteri di Kawasan Ahli Dewan Undangan Negeri (KADUN) Bagan Dalam di Taman Mewah, di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas gesaan Ahli Parlimen Bagan, Lim Guan Eng supaya kerajaan negeri menangguhkan pelaksanaan kenaikan tarif air itu selama setahun menerusi surat dimuat naik pada laman sosial Facebook (FB) wakil rakyat itu semalam.

Kon Yeow berkata, pelaksanaan tarif baharu itu penting bagi memastikan operator air negeri mempunyai kemampuan kewangan untuk membiayai pelbagai projek memperkukuhkan jaminan bekalan air di Pulau Pinang.

Beliau berkata, projek dilaksanakan Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) sahaja membabitkan hampir RM2 bilion, tidak termasuk perjanjian bekalan air dengan Perak yang turut membabitkan pelaburan bernilai berbilion ringgit.

"Walaupun tambahan hasil daripada kenaikan tarif itu hanya sekitar RM20 juta, jumlah itu amat penting bagi syarikat membiayai kerja perlu dilaksanakan.

"Jika tiada lebihan hasil daripada jualan air, syarikat perlu mendapatkan pinjaman bank. Kita juga sudah mendapat kelulusan untuk menerbitkan bon sukuk pada tahun akan datang, tertakluk kepada keperluan.

"Selain itu, jika pulangan tahunan tidak menunjukkan lebihan, penarafan kewangan juga tidak akan baik. Keadaan itu boleh menyukarkan usaha mendapatkan pinjaman atau memperoleh pembiayaan pada penarafan terbaik," katanya.

Kon Yeow berkata, mekanisme penetapan tarif air ditentukan SPAN dan dilaksanakan mengikut sistem sama di semua negeri.

Beliau berkata, setiap tiga tahun, syarikat operator air berhak mengemukakan permohonan semakan tarif berserta perincian kos operasi, perbelanjaan dan projek untuk dipertimbangkan.

"Jika kita terus menangguhkan pelaksanaan setiap kali semakan dibuat, kita tidak akan dapat mengejar peningkatan kos yang berlaku dari semasa ke semasa sehingga jurangnya menjadi terlalu besar.

"Sebenarnya kos membekalkan air sudah melebihi RM1 bagi setiap unit, namun selepas kenaikan ini, pengguna domestik hanya membayar sekitar 65 sen," katanya.

Beliau berkata, pengguna domestik ketika ini masih menikmati kadar lebih rendah daripada kos sebenar pengeluaran air kerana disubsidi secara silang oleh pengguna bukan domestik, termasuk sektor industri dan komersial.

Video Terkini

Berita Berkaitan