BH Online
Ringkasan Berita

Pemindahan 190 tahanan ke penjara Limbang melalui laut dikawal rapi

MIRI: Seramai 190 tahanan dari Penjara Pusat Miri dipindahkan ke Penjara Pusat Limbang menggunakan laluan laut pada operasi berisiko tinggi yang dikawal rapi menerusi Ops Jerjak Samudera 2.0, awal pagi semalam.
Pemindahan 190 tahanan ke penjara Limbang melalui laut dikawal rapi

Anggota Maritim Malaysia dan agensi keselamatan berkumpul di Jeti Ibu Pejabat Maritim Zon Miri sebelum operasi pemindahan 190 tahanan ke Penjara Pusat Limbang melalui laluan laut bermula. Foto ihsan APMM

MIRI: Seramai 190 tahanan dari Penjara Pusat Miri dipindahkan ke Penjara Pusat Limbang menggunakan laluan laut pada operasi berisiko tinggi yang dikawal rapi menerusi Ops Jerjak Samudera 2.0, awal pagi semalam.

Operasi pemindahan itu diiringi pasukan keselamatan dilaksanakan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) menerusi Ibu Pejabat Maritim Zon (IPMZ) Miri bagi memastikan proses berjalan lancar, selamat dan mengikut prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan sepanjang pelayaran dari Miri ke Limbang.

Pengarah Maritim Zon Miri, Kepten Maritim Mohd Khairol Anuar Saad, berkata konvoi pemindahan itu diketuai Timbalan Pengarah Keselamatan dan Ketenteraman Penjara, Ibu Pejabat Penjara Malaysia, Mohd Nasir Yusof.

Beliau berkata, konvoi itu berlepas dari Jeti IPMZ Miri pada jam 3.15 pagi dengan kawalan keselamatan rapi bagi memastikan keseluruhan operasi berlangsung dengan selamat, lancar dan teratur.

Katanya, bagi menjayakan operasi itu, Maritim Malaysia menggerakkan beberapa aset utama iaitu KM Tegas, Bot Kilat 41 dan Bot Kilat 42 dari IPMZ Miri serta Bot Petir 10 dari IPMZ Bintulu bagi mengiringi konvoi sepanjang laluan pelayaran.

"Operasi itu turut mendapat sokongan Pasukan Polis Marin (PPM) menerusi pembabitan Bot RH66 yang membantu memperkukuh kawalan keselamatan bagi memastikan tiada sebarang ancaman atau kejadian tidak diingini berlaku sepanjang proses pemindahan tahanan berkenaan.

"Hasil penyelarasan operasi secara bersepadu antara aset terbabit berjaya memastikan aspek keselamatan sepanjang proses pemindahan berada pada tahap optimum, sekali gus menjamin kelancaran operasi mengikut SOP ditetapkan," katanya.

Mohd Khairol berkata, pemindahan tahanan melalui laluan laut memerlukan perancangan teliti dan koordinasi menyeluruh antara semua agensi yang terbabit memandangkan operasi sedemikian membabitkan aspek keselamatan tinggi dan memerlukan kesiapsiagaan penuh anggota serta aset sepanjang pelayaran.

Beliau berkata, Ops Jerjak Samudera 2.0 sekali lagi membuktikan keberkesanan kerjasama strategik antara Maritim Malaysia, Jabatan Penjara dan PPM dalam melaksanakan operasi keselamatan membabitkan pengangkutan laut.

"Sinergi antara agensi bukan sahaja memperkukuh penyelarasan operasi, malah meningkatkan keupayaan pengurusan keselamatan maritim dalam menyokong pelaksanaan operasi berisiko tinggi membabitkan aspek keselamatan dan ketenteraman awam," katanya.

Sementara itu, Mohd Khairol berkata, Maritim Malaysia terus komited melaksanakan tanggungjawab sebagai agensi utama penguatkuasaan maritim negara dengan memperkukuh kesiapsiagaan aset dan anggota, selain memberikan sokongan penuh terhadap operasi keselamatan negara.

"Komitmen ini penting bagi memastikan keselamatan, keamanan dan kedaulatan Zon Maritim Malaysia sentiasa terpelihara, selain memperkukuhkan keyakinan orang ramai terhadap keupayaan agensi mengendalikan operasi keselamatan berskala besar," katanya.

Video Terkini

Berita Berkaitan