BH Online
Ringkasan Berita

Nelayan dakwa Sungai Sepetang tercemar dengan pati kelapa sawit

TAIPING: Lebih 100 nelayan di Kampung Dew di sini mendakwa terjejas pendapatan selepas Sungai Sepetang dipercayai tercemar akibat tumpahan pati sisa dari kolam takungan kilang kelapa sawit yang pecah sejak dua minggu lalu.
Nelayan dakwa Sungai Sepetang tercemar dengan pati kelapa sawit

Sebahagian nelayan membuat bantahan agar pihak JAS segera mengambil tindakan berikutan Sungai Sepetang yang menjadi lubuk mencari rezeki tercemar. Foto NSTP/SHAIFUL SHAHRIN AHMAD PAUZI

TAIPING: Lebih 100 nelayan di Kampung Dew di sini mendakwa terjejas pendapatan selepas Sungai Sepetang dipercayai tercemar akibat tumpahan pati sisa dari kolam takungan kilang kelapa sawit yang pecah sejak dua minggu lalu.

Kejadian itu menyebabkan air sungai bertukar hitam, berbau busuk dan mengakibatkan kematian ikan secara besar-besaran sehingga menjejaskan sumber pendapatan nelayan serta industri pelancongan berasaskan kelip-kelip dan aktiviti memancing udang galah.

Wakil MyKP Komuniti Perikanan Kampung Dew merangkap Sahabat Ekologi Perak, Syukur Ishak, berkata pihaknya menerima maklumat mengenai pencemaran itu pada Ahad lalu sebelum melakukan pemeriksaan di lokasi.

Katanya, pemeriksaan pada malam hari mendapati kolam takungan sisa milik sebuah kilang kelapa sawit pecah menyebabkan pati sisa berwarna hitam mengalir ke Sungai Sepetang.

"Kami dimaklumkan kejadian sebenar dipercayai berlaku sehari lebih awal iaitu pada Sabtu.

"Kami kemudian memaklumkan perkara ini kepada Jabatan Alam Sekitar (JAS) untuk tindakan lanjut.

"Hasil pemerhatian mendapati benteng kolam itu sudah uzur dan tidak lagi selamat. Jika tidak dinaik taraf, kami bimbang kejadian sama akan berulang," katanya pada sidang media di Jeti Kelip-kelip, Kampung Dew, di sini, hari ini.

Menurutnya, lebih 100 nelayan bergantung kepada sungai berkenaan, namun kira-kira 30 nelayan menerima kesan paling teruk apabila tidak lagi dapat turun menangkap ikan dan udang.

Katanya, sebelum ini nelayan mampu memperoleh pendapatan sekurang-kurangnya RM200 sehari, namun kini mereka terpaksa ke kawasan muara yang lebih jauh dengan hasil tangkapan yang tidak berbaloi berbanding kos operasi.

Beliau berkata, sehingga kini hampir dua tan ikan dipercayai mati akibat pencemaran itu membabitkan pelbagai spesies termasuk ikan baung dan lampam.

"Kami juga menghentikan sementara aktiviti membawa pemancing udang galah kerana keadaan sungai yang tercemar.

"Kami hanya menuntut pampasan munasabah bagi menampung kehilangan pendapatan dan kos minyak nelayan sepanjang mereka tidak dapat bekerja," katanya.

Syukur berkata, pihaknya turut menggesa kerajaan negeri, JAS, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) serta agensi berkaitan memeriksa semua kolam takungan sisa kilang kelapa sawit bagi memastikan ia dibina mengikut spesifikasi keselamatan.

Katanya, laporan sudah dibuat kepada JAS dan pihak jabatan memaklumkan siasatan sedang dijalankan serta kes itu akan dibawa ke mahkamah.

Beliau berkata, Jabatan Perikanan turut dimaklumkan bagi menilai kesan pencemaran terhadap sumber perikanan serta membantu nelayan yang kehilangan mata pencarian.

Menurutnya, proses pemulihan Sungai Sepetang dijangka bergantung kepada keadaan cuaca kerana sisa yang mengalir keluar adalah pati enapan pekat yang mendap di dasar sungai dan bukannya air biasa, sekali gus memberi kesan kepada hidupan akuatik.

Video Terkini

Berita Berkaitan