KOTA BHARU: Persefahaman dijalin antara Perikatan Nasional (PN) dan Barisan Nasional (BN) bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan bertujuan merampas pentadbiran negeri itu daripada Pakatan Harapan (PH).
Naib Presiden PAS, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah, berkata persefahaman berkenaan dirangka bagi memaksimumkan peluang pembangkang menewaskan PH yang kini mentadbir Negeri Sembilan.
"Di Negeri Sembilan, matlamatnya untuk mengambil alih kerajaan negeri kerana PH sedang memerintah.
"Jadi, menerusi persefahaman ini, kita berharap dapat mengembalikan semula penguasaan politik di negeri itu," katanya selepas menyampaikan kuliah di Medan Ilmu di sini, hari ini.
Mohd Amar berkata, kerjasama antara dua gabungan itu di Negeri Sembilan sama seperti dilaksanakan pada PRN Johor baru-baru ini, iaitu persefahaman pilihan raya dan bukannya kerjasama politik secara rasmi.
"Ia lebih kepada persefahaman daripada kerjasama penuh, sebab itu ada kerusi yang BN tidak bertanding dan ada kerusi yang PN tidak bertanding.
"Persefahaman ini ketika ini hanya membabitkan Johor dan Negeri Sembilan. Ia adalah aturan secara ad hoc.
"Jika pendekatan sama mahu dilaksanakan di negeri lain, ia bergantung kepada keadaan pada masa depan," katanya.
Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Panchor menyifatkan persefahaman di Johor sebagai perkembangan positif kerana membantu BN mencatat prestasi lebih baik daripada jangkaan.
Katanya, unjuran awal menunjukkan BN hanya dijangka memenangi kira-kira 33 kerusi, namun persefahaman dengan PN membolehkan gabungan itu memperoleh 48 kerusi.
"Ia satu peningkatan yang sangat ketara, seperti disebut Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang, matlamat lebih besar ialah memastikan PH tidak terus berkuasa dan keputusan di Johor membuktikan persefahaman seperti ini mampu memberikan hasil positif," katanya.
Mohd Amar berkata, persefahaman di Negeri Sembilan perlu dilihat sebagai langkah permulaan dan medan ujian bagi kemungkinan kerjasama lebih meluas pada masa depan.
"Kita mahu melihat sejauh mana kejayaannya dan sama ada ia diterima penyokong di peringkat akar umbi. Jika ia berjaya dan memberi manfaat kepada negara, kita boleh mempertimbangkan untuk memperluaskannya pada masa depan.
"Bagaimanapun, masih terlalu awal untuk membuat kesimpulan kerana kita belum mengetahui apa yang akan berlaku," katanya.
PRN Negeri Sembilan ke-16 dijadual berlangsung pada 1 Ogos ini dan hari penamaan calon ditetapkan esok. Semua 36 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) akan dipertandingkan.
























