BH Online
Ringkasan Berita

Panggilan video tiba-tiba terputus, itulah kali terakhir Nasrulhaq dapat dihubungi - Ibu saudara

KOTA TINGGI: “Saya difahamkan pada Sabtu lalu, arwah keluar rumah sekitar jam 11 malam untuk ke kediaman rakannya di Kampung Temenin Baru.
Panggilan video tiba-tiba terputus, itulah kali terakhir Nasrulhaq dapat dihubungi - Ibu saudara

Mayat Allahyarham Muhammad Nasrulhaq ditemui di KM8.2 Jalan Kluang-Kota Tinggi, di sini, awal pagi tadi. - Foto media sosial

KOTA TINGGI: "Saya difahamkan pada Sabtu lalu, arwah keluar rumah sekitar jam 11 malam untuk ke kediaman rakannya di Kampung Temenin Baru.

"Sebelum kejadian, arwah dikatakan sempat membuat panggilan video dengan seorang rakan tetapi ia terputus tiba-tiba. Panggilan video pada jam 4.26 pagi Ahad lalu itu adalah kali terakhir arwah dapat dihubungi."

Demikian dikongsikan Nooranaliza Abd Jalil, 43, iaitu ibu saudara kepada pelajar Tingkatan Tiga, Allahyarham Muhammad Nasrulhaq Kamaruzaman, 15, yang dilaporkan hilang sejak Ahad lalu sebelum mayatnya ditemui di Kilometer (KM) 8.2 Jalan Kluang-Kota Tinggi, di sini, awal pagi tadi.

Menceritakan lanjut, Nooranaliza berkata, beliau pulang ke kampung di FELDA Simpang Waha pada hari pengundian Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, Sabtu lalu.

"Itulah pertemuan terakhir kami. Arwah tiada menunjukkan sebarang perubahan ketika itu. Arwah adalah seorang yang pendiam," katanya.

Beliau berkata, keluarga dan penduduk kampung berusaha mencari arwah selama hampir seminggu sejak remaja itu dilaporkan hilang, namun reda dengan pemergiannya.

Sementara itu Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintendan Yusof Othman, berkata pihaknya menerima maklumat daripada orang awam kira-kira jam 2.30 pagi tadi berhubung penemuan mangsa.

Beliau berkata, hasil siasatan awal mendapati motosikal jenis Yamaha 135LC ditunggang arwah dipercayai terbabas sendiri di KM8.2 Jalan Kluang-Kota Tinggi.

Katanya, kemalangan itu menyebabkan mangsa parah pada bahagian badan serta kaki dan meninggal dunia di tempat kejadian.

"Mayat mangsa kemudian dirujuk ke Jabatan Forensik, Hospital Kota Tinggi, bagi tujuan prosedur siasatan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya dalam satu kenyataan.

Beliau sekali gus menasihati orang ramai supaya sentiasa peka dan mematuhi undang-undang dan peraturan ditetapkan demi menjaga keselamatan bersama ketika berada di atas jalan raya.

Seorang penduduk FELDA Simpang Waha yang menemui mayat Muhammad Nasrulhaq pula berkata, masyarakat kampung itu tidak berputus asa membantu mencari arwah sejak mangsa dilaporkan hilang.

"Dia sebaya dengan usia anak, jadi tidak sampai hati untuk membiarkannya begitu saja selepas dilaporkan hilang.

"Kebetulan ketika meneruskan usaha mencarinya dengan meronda kawasan sekitar menggunakan motosikal pada awal pagi tadi, ada terhidu bau," katanya yang enggan nama beliau disiarkan.

Susulan itu, katanya, beliau meminta bantuan pengguna jalan raya yang lain untuk turut menemaninya ke ladang kelapa sawit berhampiran kawasan perindustrian sehingga berjaya menjumpai mangsa.

"Dengan keizinan Allah SWT, Muhammad Nasrulhaq ditemui pada awal pagi tadi.

"Kami kemudian menghubungi polis dan keluarga arwah untuk tindakan lanjut," katanya.

Video Terkini

Berita Berkaitan