SUNGAI PETANI: Pakatan Harapan (PH) mengekalkan pendekatan politik prestasi dalam menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan tanpa perlu mencampuri urusan dalaman parti lain.
Naib Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Dr Mohammed Taufiq Johari berkata, fokus PH ketika ini adalah memastikan rakyat menilai pencapaian pentadbiran kerajaan Negeri Sembilan yang diterajui Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun berbanding terheret dengan percaturan politik pihak lain.
Katanya, kerajaan negeri sudah membuktikan keupayaan mentadbir dengan baik menerusi pelbagai pencapaian termasuk aspek pembangunan dan pertumbuhan ekonomi yang menjadi asas keyakinan PH untuk terus mendapat mandat rakyat.
"Berkenaan dengan gabungan parti-parti politik yang lain, bagi kita PH, pendekatan kita adalah untuk menunjukkan politik prestasi dan kita tidak mahu ikut campur dengan sebarang apa juga parti lain nak lakukan.
"Pendekatan kita bukan untuk mencari salah atau menghentam pihak lawan sebaliknya mengetengahkan apa yang telah berjaya dilaksanakan kerajaan Negeri Sembilan demi manfaat rakyat dan memastikan kesinambungan itu diteruskan selepas PRN," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Program Madani Kita di Padang Awam Bandar Puteri Jaya, di sini, hari ini.
Kelmarin, Barisan Nasional (BN) mengumumkan bertanding di 25 kerusi DUN manakala Perikatan Nasional (PN) pula di 11 kerusi yang tidak ditandingi BN, sekali gus menunjukkan ada kerjasama antara kedua-duanya dalam PRN Negeri Sembilan.
Mengulas peluang PH mempertahankan Negeri Sembilan, Dr Muhammed Taufiq yang juga Menteri Belia dan Sukan berkata, pihaknya optimis rakyat akan membuat pilihan berdasarkan rekod pentadbiran kerajaan negeri dan bukannya polemik politik.
"Insya-Allah kita sangat positif. rakyat Negeri Sembilan mampu menilai siapa yang terbaik untuk menerajui kerajaan negeri selepas PRN akan datang," katanya.
Sementara itu, beliau berkata Program Madani Kita menjadi platform kerajaan mendekati rakyat secara langsung bagi menyampaikan pelbagai inisiatif dan bantuan, selain mendengar sendiri isu serta permasalahan yang dihadapi masyarakat.
Katanya, pada program itu kerajaan turut menyampaikan peruntukan RM500,000 kepada Kampung Angkat MADANI Kampung Bukit Kecil, RM200,000 bagi Program Santuni MADANI di Kampung Batu Dua serta RM100,000 kepada Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) Taman Keladi menerusi Program Sekolah Angkat MADANI.
"Hari ini juga ada beberapa penyerahan sumbangan dan bantuan yang lain kepada golongan asnaf dan mereka yang memerlukan, bukan sahaja dalam kawasan parlimen Sungai Petani tetapi juga pemilihan nama-nama tersebut kita pilih dari seluruh negeri Kedah.
"Yang paling penting, program hari ini adalah untuk kita mengenal pasti permasalahan dan isu-isu rakyat setempat supaya kita boleh mengangkat isu tersebut dan mencari solusi yang terbaik.
"Dan segala apa dasar yang dilaksanakan oleh kementerian dan juga kerajaan, bukan dasar yang syok sendiri tetapi dasar yang benar-benar mendengar hasrat dan juga suara rakyat itu sendiri," katanya.
























