KUALA LUMPUR: BERSATU menolak andaian ia secara sukarela 'mufarakah' dengan Perikatan Nasional (PN), gabungan yang diasaskan oleh Presidennya, Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Sebaliknya, kata Muhyiddin, hak BERSATU sebagai anggota dan pengasas PN dinafikan selepas rundingan pembahagian kerusi pilihan raya dengan gabungan itu tidak diteruskan.
Beliau berkata, BERSATU tidak berpisah daripada PN secara sukarela, sebaliknya mendakwa parti itu diketepikan dalam beberapa proses membuat keputusan termasuk rundingan kerusi dan mesyuarat khas Majlis Tertinggi PN yang memuktamadkan pembahagian kerusi antara parti komponen.
Dalam kenyataan hari ini, Muhyiddin berkata dakwaan dibuat Ketua Penerangan PN, Tan Sri Annuar Musa terhadap BERSATU adalah tidak berasas, khususnya menyatakan bahawa parti itu bertindak mendahului keputusan mesyuarat PN.
"Rundingan kerusi pilihan raya dengan BERSATU tidak diteruskan. Malah ia sengaja dihentikan dengan alasan yang tidak munasabah.
"Jadi, mengapa BERSATU dituduh bertindak mendahului keputusan mesyuarat jika mesyuarat pun tidak dijemput?" katanya.
Semalam Annuar berkata keputusan BERSATU bertanding menggunakan logo sendiri pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan menunjukkan parti itu secara sukarela memilih untuk 'mufarakah' daripada PN.
Dalam pada itu, Muhyiddin yang juga Ahli Parlimen Pagoh berkata, rundingan berkaitan kerjasama politik dengan Barisan Nasional (BN) tidak dipersoalkan kerana Pengerusi PN, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar sebelum ini mengakui memberi kebenaran untuk ia dijalankan.
Bagaimanapun, beliau mendakwa perkara berkenaan membabitkan dasar gabungan yang sepatutnya dibawa terlebih dahulu ke Majlis Tertinggi PN untuk diputuskan bersama semua parti anggota.
"Sebaliknya, rundingan dibuat tanpa membabitkan semua parti anggota dan tanpa mandat Majlis Tertinggi. Selepas keputusan mengenai kerjasama dibuat, barulah dibawa ke Majlis Tertinggi. Ini cara yang songsang.
"Sepanjang saya memimpin PN selama lima tahun saya tidak pernah mengenepikan mana-mana parti anggota dalam proses membuat keputusan dalam gabungan, termasuk hal-hal dasar parti dan pembahagian kerusi pilihan raya.
"Mesyuarat dan rundingan membabitkan semua parti dan setiap keputusan dibuat secara teratur. Hari ini, segalanya berkecamuk," katanya.
Dalam pada itu, Muhyiddin turut menafikan dakwaan Annuar bahawa BERSATU menjadi penghalang kepada usaha penyatuan Melayu, sambil menegaskan perjuangan parti itu untuk menyatukan orang Melayu tidak pernah berubah sejak penubuhannya.
"Saya menubuhkan BERSATU sebagai sebuah parti pribumi Melayu dan perjuangan saya untuk penyatuan Melayu tidak pernah padam.
"Malah, pada peringkat awal penubuhan PN, saya menggagaskan gabungan itu sebagai parti induk yang menggabungkan parti-parti Melayu termasuk UMNO serta parti pelbagai kaum yang lain.
"Namun, UMNO menolak untuk menyertai PN. Malah UMNO tidak mahu menjadi sebahagian daripada parti dalam Kerajaan Perikatan Nasional. Hanya Ahli Parlimen UMNO sahaja yang menyokong kerajaan PN," katanya.
Tambahnya, pada ketika itu Ahli Parlimen UMNO berkomplot untuk menjatuhkan kerajaan PN, iaitu sebuah kerajaan yang dipimpin oleh orang Melayu dan parti Melayu.
"Hari ini mereka sedang melakukan perkara yang sama kepada Kerajaan Perpaduan yang mereka sendiri tubuhkan bersama-sama Pakatan Harapan (PH).
"Oleh kerana PN dipimpin oleh PAS mahu mewujudkan gabungan dengan UMNO, yang masih mempunyai hubungan dengan PH termasuk DAP, PAS memutuskan hubungan dengan BERSATU dan parti Melayu yang saya pimpin ini diketepikan oleh PN," katanya.
"Ini bukanlah penyatuan Melayu yang sebenar. Ini hanyalah penjajaran semula kuasa politik. Apapun saya mengucapkan selamat maju jaya kepada PN.
"BERSATU tidak akan menoleh ke belakang lagi. Parti ini akan terus berdiri dan mara ke hadapan menjulang panji-panji perjuangannya demi Malaysia dan seluruh rakyatnya," katanya.
























