JOHOR BAHRU: Majlis Istiadat Mengangkat Sumpah Jawatan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (EXCO) Johor yang dijadualkan berlangsung di Istana Bukit Serene di sini, hari ini, ditangguhkan ke esok.
Perkara itu dimaklumkan kepada petugas media oleh Pejabat Media Diraja (RPO), pagi ini, bahawa majlis berkenaan akan diadakan pada waktu sama, esok.
Setakat ini, tiada alasan diberikan berhubung penangguhan majlis itu.
Semalam, media melaporkan barisan EXCO Johor yang baharu selepas Barisan Nasional (BN) melakar kemenangan bergaya dengan membolot sebanyak 48 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) ke-16, bakal diketahui hari ini.
Majlis Istiadat Mengangkat Sumpah Jawatan EXCO dijadualkan berlangsung di hadapan Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail, di Istana Bukit Serene pada sebelah pagi.
Majlis penuh istiadat itu akan menyaksikan barisan kepimpinan baharu pentadbiran negeri mengangkat sumpah simpan rahsia dan menerima watikah pelantikan masing-masing.
Pengamal media turut dijemput membuat liputan di dua pintu masuk istana membabitkan Pintu Mahkota dan Pintu Kolam Air, bermula seawal jam 9.30 pagi.
Majlis istiadat itu dijadualkan turut dihadiri Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi; Yang Dipertua Jumaah Majlis Diraja Johor, Datuk Dr Abdul Rahim Ramli; dan Setiausaha Kerajaan Negeri Johor, Datuk Mohammed Ridha Abd Kadir.
Ahad lalu, Onn Hafiz yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Machap, mengangkat sumpah jawatan sebagai Menteri Besar Johor bagi penggal kedua berturut-turut.
























