KUALA LUMPUR: Semua majikan sektor awam dan swasta disaran menjadikan dasar kesihatan mental sebagai sebahagian daripada amalan tadbir urus bagi mewujudkan persekitaran kerja yang lebih sihat, produktif dan sejahtera.
Ahli Majlis Penasihat Kesihatan Mental, Tan Sri Lee Lam Thye, berkata pelaksanaan dasar kesihatan mental secara menyeluruh di setiap tempat kerja perlu disokong.
Ini kerana kerana isu berkenaan bukan lagi dianggap sebagai masalah peribadi pekerja, sebaliknya memberi kesan langsung terhadap produktiviti, keselamatan serta kejayaan sesebuah pertubuhan.
Katanya, persekitaran kerja yang semakin mencabar akibat beban tugas tinggi, tekanan untuk mencapai sasaran, waktu kerja yang panjang, ketidakseimbangan antara kerjaya dan kehidupan serta ketidaktentuan ekonomi menyebabkan semakin ramai pekerja mengalami tekanan, kebimbangan dan keletihan melampau (burnout).
"Jika keadaan ini tidak ditangani, ia boleh mengakibatkan penurunan produktiviti, peningkatan kadar ketidakhadiran, kemalangan di tempat kerja, semangat kerja yang rendah serta kadar pemberhentian pekerja yang lebih tinggi.
"Kesihatan mental bukan lagi isu peribadi semata-mata, tetapi ia adalah isu tempat kerja yang memberi kesan langsung kepada kesejahteraan pekerja dan prestasi pertubuhan," katanya dalam kenyataan, hari ini.
Semalam, Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad memberitahu Dewan Rakyat bahawa kementerian itu sedang membangunkan dasar kesihatan mental di tempat kerja bagi mewujudkan persekitaran kerja yang kondusif, selamat dan harmoni di bawah pelan tindakan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) negara.
Dalam pada itu, mengulas lanjut, Lam Thye berkata dasar kesihatan mental di tempat kerja menyediakan kerangka yang jelas untuk mempromosikan kesejahteraan psikologi, mencegah masalah kesihatan mental serta membantu pekerja yang memerlukan sokongan.
Katanya, dasar itu juga mampu mengurangkan stigma terhadap masalah kesihatan mental, menggalakkan pekerja mendapatkan bantuan lebih awal dan membentuk budaya kerja yang lebih prihatin, inklusif serta saling menghormati.
Beliau berkata, majikan yang melabur dalam kesihatan mental sebenarnya melabur dalam aset paling berharga pertubuhan, iaitu pekerja.
"Pertubuhan yang mempunyai persekitaran kerja yang sihat dari segi mental lazimnya menikmati tahap produktiviti lebih tinggi, semangat kerja yang lebih baik, kerjasama lebih kukuh, inovasi yang meningkat, kos penjagaan kesihatan lebih rendah serta kadar pengekalan pekerja yang lebih baik.
"Dasar ini juga dapat menghapuskan stigma terhadap masalah kesihatan mental, menggalakkan pekerja mendapatkan bantuan pada peringkat awal, serta membentuk budaya kerja yang lebih prihatin, inklusif dan saling menghormati," katanya.
Mengulas lanjut, Lam Thye berkata antara elemen yang perlu diberi penekanan dalam dasar itu termasuk program pendidikan dan kesedaran mengenai kesihatan mental, latihan kepada pihak pengurusan untuk mengenal pasti tanda awal tekanan atau gangguan mental, selain menyediakan kemudahan kaunseling sulit atau Program Bantuan Pekerja (EAP).
Beliau turut mencadangkan langkah mengurus tekanan kerja dan beban tugas, dasar tegas bagi mencegah buli, gangguan serta diskriminasi di tempat kerja, selain prosedur yang jelas untuk membantu pekerja kembali bertugas selepas menjalani rawatan atau cuti berkaitan kesihatan mental.
"Kesihatan mental perlu diberi perhatian sama penting seperti keselamatan dan kesihatan fizikal di tempat kerja.
"Sebagaimana majikan bertanggungjawab melindungi pekerja daripada kecederaan fizikal, mereka juga mempunyai tanggungjawab melindungi kesejahteraan psikologi pekerja," katanya.
Tambahnya, dengan mewujudkan tempat kerja yang sihat dari segi mental bukan sahaja satu tanggungjawab sosial, malah ia adalah pelaburan yang bijak.
"Pekerja yang berasa dihargai, disokong dan dihormati akan menjadi lebih bermotivasi, lebih berdaya tahan dan mampu menyumbang secara optimum kepada pertubuhan," katanya.
























