BH Online
Ringkasan Berita

Majlis Istiadat Mengangkat Sumpah Jawatan EXCO Johor berlangsung di Istana Bukit Serene esok

JOHOR BAHRU: Barisan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (EXCO) Johor yang baharu selepas Barisan Nasional (BN) melakar kemenangan bergaya dengan membolot sebanyak 48 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) ke-16, bakal diketahui esok.
Majlis Istiadat Mengangkat Sumpah Jawatan EXCO Johor berlangsung di Istana Bukit Serene esok

(Gambar fail) Kenderaan membawa Onn Hafiz memasuki Istana Bukit Serene bagi istiadat angkat sumpah jawatan sebagai Menteri Besar Johor, Ahad lalu. - FOTO BERNAMA

JOHOR BAHRU: Barisan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (EXCO) Johor yang baharu selepas Barisan Nasional (BN) melakar kemenangan bergaya dengan membolot sebanyak 48 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) ke-16, bakal diketahui esok.

Majlis Istiadat Mengangkat Sumpah Jawatan EXCO dijadualkan berlangsung di hadapan Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail, di Istana Bukit Serene di sini, pada sebelah pagi.

Majlis penuh istiadat itu akan menyaksikan barisan kepimpinan baharu pentadbiran negeri mengangkat sumpah simpan rahsia dan menerima watikah pelantikan masing-masing.

Pengamal media turut dijemput membuat liputan di dua pintu masuk istana membabitkan Pintu Mahkota dan Pintu Kolam Air, bermula seawal jam 9.30 pagi.

Majlis istiadat itu dijadualkan turut dihadiri Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi; Yang Dipertua Jumaah Majlis Diraja Johor, Datuk Dr Abdul Rahim Ramli; dan Setiausaha Kerajaan Negeri Johor, Datuk Mohammed Ridha Abd Kadir.

Ahad lalu, Onn Hafiz yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Machap, mengangkat sumpah jawatan sebagai Menteri Besar Johor bagi penggal kedua berturut-turut.

Pada penggal 2022-2026, seramai 11 EXCO membarisi pentadbiran Kerajaan Johor diterajui Onn Hafiz sebagai Menteri Besar yang turut memegang jawatan Pengerusi Jawatankuasa Hasil Bumi, Pentadbiran, Kewangan, Perancangan, Pembangunan Ekonomi dan Pelancongan negeri ketika itu.

Portfolio Perpaduan, Warisan dan Budaya Johor pula disandang oleh K Raven Kumar yang merupakan ADUN Tenggaroh ketika itu sebelum memenangi kerusi DUN Kemelah pada PRN ke-16.

Datuk Zahari Sarip yang berjaya mempertahankan kerusi DUN Buloh Kasap pada PRN kali ini pula memegang portfolio Pertanian, Industri Asas Tani dan Kemajuan Luar Bandar Johor pada penggal lalu.

Portfolio Kerja Raya, Pengangkutan, Infrastruktur dan Komunikasi disandang Mohamad Fazli Mohamad Salleh yang terus menerima mandat sebagai ADUN Bukit Pasir pada pilihan raya Sabtu lalu.

Portfolio Hal Ehwal Agama Islam disandang Mohd Fared Mohd Khalid yang kekal sebagai ADUN Semerah; serta Kesihatan dan Alam Sekitar disandang Ling Tian Soon yang berjaya mempertahankan kerusi DUN Yong Peng.

Portfolio Pelaburan, Perdagangan, Hal Ehwal Pengguna dan Sumber Manusia Johor pula disandang Lee Ting Han yang sekali lagi diberi mandat sebagai ADUN Paloh pada PRN kali ini.

Portfolio Pendidikan dan Penerangan negeri ketika itu pula dipegang oleh Aznan Tamin yang berjaya mempertahankan kerusi DUN Tanjung Surat pada PRN kali ini; Perumahan dan Kerajaan Tempatan disandang Datuk Mohd Jafni Md Shukor yang kekal sebagai ADUN Bukit Permai; manakala Belia dan Sukan, Pembangunan Usahawan dan Koperasi Johor disandang Mohd Hairi Mad Shah yang sekali lagi memperoleh mandat di DUN Larkin.

Portfolio Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat negeri pada pentadbiran lalu dipegang oleh Khairin-Nisa Ismail @ Md On yang bagaimanapun tidak bertanding mempertahankan kerusi DUN Serom pada PRN Johor ke-16.

Video Terkini

Berita Berkaitan