KUALA LUMPUR: Sebanyak 13 Rang Undang-Undang (RUU) diluluskan Dewan Rakyat sepanjang 16 hari Mesyuarat Kedua Dewan Rakyat, Penggal Kelima Parlimen Ke-15 berlangsung, bermula 22 Julai lalu.
Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul, memaklumkan beberapa usul, termasuk usul Laporan Tahunan Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM) 2024 turut dibahaskan Ahli Parlimen dalam tempoh berkenaan.
Selain itu beliau berkata, tiga penerangan daripada menteri turut dibuat di Dewan Rakyat dan satu penerangan menteri di Kamar Khas serta enam penerangan Pengerusi Jawatankuasa Pilihan mengenai penyata dibentangkan.
"Selain itu, mesyuarat ini juga menyaksikan Dewan Rakyat sekali lagi menempa sejarah dengan memperuntukkan masa seharian bagi sesi penerangan Pengerusi Jawatankuasa Pilihan berkaitan kementerian pada hari pertama Mesyuarat Kedua ini," katanya ketika menangguhkan Mesyuarat Kedua Dewan Rakyat, Penggal Kelima Parlimen Ke-15, hari ini.
Pada masa sama, Johari mengingatkan Ahli Parlimen supaya melakukan pemeriksaan kesihatan sebelum 30 Oktober depan.
"Seperti yang saya katakan, pemeriksaan boleh dibuat di mana-mana saja, cuma maklumat itu hendaklah sampai kepada Parlimen supaya kita dapat menyimpan semua rekod itu.
"Saya juga berharap Ahli Yang Berhormat dapat menjaga kesihatan sepanjang tempoh kempen pilihan raya yang akan datang," katanya.
























