BH Online
Ringkasan Berita

Dewan Rakyat lulus RUU Statistik 2026, ganti Akta Perangkaan 1965

KUALA LUMPUR: Dewan Rakyat hari ini meluluskan Rang Undang-Undang (RUU) Statistik 2026 bagi menggantikan Akta Perangkaan 1965 (Akta 415) dalam usaha mewujudkan kerangka perundangan yang lebih moden, komprehensif dan selaras dengan perkembangan ekosistem data serta statistik semasa negara.
Dewan Rakyat lulus RUU Statistik 2026, ganti Akta Perangkaan 1965

Menteri Ekonomi, Akmal Nasrullah Mohd Nasir. Foto fail NSTP

KUALA LUMPUR: Dewan Rakyat hari ini meluluskan Rang Undang-Undang (RUU) Statistik 2026 bagi menggantikan Akta Perangkaan 1965 (Akta 415) dalam usaha mewujudkan kerangka perundangan yang lebih moden, komprehensif dan selaras dengan perkembangan ekosistem data serta statistik semasa negara.

Menteri Ekonomi, Akmal Nasrullah Mohd Nasir, berkata Akta Perangkaan 1965 yang digubal berdasarkan keperluan ketika itu sudah diguna pakai selama 61 tahun, namun perkembangan pesat dalam aspek sosial, ekonomi dan teknologi menuntut perundangan yang lebih relevan.

Beliau berkata, penggubalan akta baharu itu akan membolehkan penghasilan data dan statistik yang lebih tepat, menyeluruh dan mencerminkan keadaan semasa negara, termasuk merangkumi bidang sosial, ekonomi serta alam sekitar.

"Sepanjang tempoh lebih enam dekad, Malaysia sudah melalui transformasi yang ketara.

"Justeru, perundangan yang dikemas kini dan moden membolehkan penghasilan data dan statistik yang menggambarkan keadaan semasa negara dengan lebih tepat.

"Ia merangkumi bidang sosial, ekonomi dan alam sekitar," katanya ketika membentangkan RUU berkenaan.

Akmal Nasrullah berkata, kaedah penghasilan statistik rasmi pada masa kini juga tidak lagi bergantung sepenuhnya kepada banci dan tinjauan, sebaliknya turut memanfaatkan data pentadbiran, data geospatial serta pelbagai sumber data baharu yang semakin berkembang.

"Perubahan ini memerlukan suatu kerangka perundangan yang lebih komprehensif dan fleksibel.

"Ia bagi membolehkan pengeluaran statistik rasmi dilaksanakan dengan lebih cekap, tepat pada masanya dan responsif kepada keperluan pengguna," katanya.

Katanya, RUU Statistik 2026 akan memperkukuh sistem statistik negara agar kekal relevan dalam menyokong perancangan, pelaksanaan dasar serta proses membuat keputusan berasaskan data.

RUU Statistik 2026 diluluskan di Dewan Rakyat selepas mendapat sokongan majoriti Ahli Parlimen.

Video Terkini

Berita Berkaitan