KUALA LUMPUR: Tiada sebarang halangan untuk mana-mana Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen meneliti pengurusan Kumpulan Wang Amanah Negara (KWAN) mengikut bidang kuasa masing-masing.
Timbalan Menteri Kewangan, Liew Chin Tong, berkata akauntabiliti kepada Parlimen di bawah RUU KWAN 2026 itu adalah menyeluruh.
"Ia termasuk akaun beraudit dan laporan tahunan dibentangkan di kedua-dua Majlis (Parlimen) setiap tahun.
"Tiada apa-apa dalam akta ini yang menghalang mana-mana jawatankuasa Parlimen sedia ada daripada meneliti hal ehwal Kumpulan Wang mengikut bidang kuasa masing-masing.
"Kerajaan sudah pun memberikan taklimat kepada Jawatankuasa Pilihan Khas berkaitan sebelum perbahasan RUU ini," katanya ketika menggulung RUU berkenaan di Dewan Rakyat, hari ini.
Di samping itu, Chin Tong berkata, kerajaan juga bersedia mewajibkan rujukan kepada Jawatankuasa Khas Parlimen, termasuk bagi pelantikan anggota Lembaga KWAN.
Rang Undang-Undang (RUU) KWAN 2026 diluluskan di Dewan Rakyat selepas mendapat sokongan majoriti Ahli Parlimen.
RUU berkenaan antara lain bagi memastikan pengurusan dana amanah negara lebih mampan, telus dan berkesan, selaras dengan fungsinya sebagai simpanan jangka panjang untuk generasi akan datang.
























