JOHOR: 'Pak guard' jadi keldai akaun dijel 2 bulan, gagal bayar denda
MUAR: Pengawal keselamatan terpaksa dihantar ke Penjara Kluang selepas gagal menjelaskan denda RM1,000 yang dikenakan oleh Mahkamah Sesyen hari ini, atas kesalahan menjadi keldai akaun kepada sindiket menjual kenderaan terpakai.
Tertuduh, Mohd Sahlan Talib, 45, mengaku bersalah atas pertuduhan mengikut Seksyen 424 Kanun Keseksaan kerana didapati terbabit secara tidak langsung dalam transaksi kemasukan wang berjumlah RM2,140 menerusi akaun didaftarkan atas namanya.
Perbuatan itu dilakukan di sebuah rumah Kampung Parit Wahid, Batu 5, Bakri di sini, pada jam 10.26 pagi, 20 April lalu.
Hakim Mohd Khairi Haron kemudian menjatuhkan hukuman denda RM1,000 serta memerintahkan tertuduh dipenjara dua bulan jika gagal membayarnya.
Berdasarkan fakta kes, pengadu yang juga mangsa lelaki berusia 57 tahun terlihat iklan penjualan kereta di Facebook.
Pengadu berminat dan menghubungi seorang lelaki yang memperkenalkan diri sebagai 'Mr Soh'. Setelah selesai penerangan mengenai proses pembelian, pengadu perlu membuat pembayaran terlebih dahulu untuk mendapat kenderaan itu.
Disebabkan itu, pengadu memasukkan wang ke dalam akaun atas nama tertuduh dan selepas transaksi dibuat, pengadu diminta membuat pelbagai bayaran.
Pengadu mula tersedar lalu membuat laporan polis. Siasatan dijalankan membawa penahanan tertuduh keesokan hari.
Semakan mendapati akaun bank terbabit sah. Selain itu, polis juga menjalankan pemeriksaan dengan pihak bank dan mendapati wujud kemasukan wang.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Amirah Sapian manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
























