BANGI: Kejohanan Majlis Sukan Sekolah Malaysia (MSSM) 2026 mencipta sejarah apabila buat julung kalinya membabitkan penyertaan daripada kesemua Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) termasuk Wilayah Persekutuan Labuan.
Timbalan Menteri Pendidikan, Wong Kah Woh, berkata pencapaian itu membuktikan komitmen Kementerian Pendidikan (KPM) untuk memastikan pembangunan sukan sekolah dilaksanakan secara lebih inklusif tanpa mengira lokasi.
Beliau berkata, sebelum ini kekangan kewangan dan kos menyebabkan beberapa wilayah, khususnya Sabah, Sarawak dan Labuan, tidak dapat menjadi tuan rumah atau terbabit secara menyeluruh setiap tahun.
"Dulu setiap tahun oleh kerana kekangan dari segi kewangan dan dari segi kos, untuk wilayah-wilayah seperti Sabah, Sarawak dan juga Labuan, kita tidak sempat untuk pergi ke setiap tempat pada setiap tahun.
"Jadi kita membuat secara giliran. Kadang-kadang Wilayah Persekutuan Labuan kurang diberikan tumpuan dan kurang diberikan peluang.
"Tapi untuk tahun ini, dengan usaha gigih Kementerian Pendidikan serta kerjasama Jabatan Pendidikan Negeri dan Pejabat Pendidikan Daerah, buat kali pertamanya MSSM berjaya membabitkan kesemua 16 JPN yang kita ada," katanya dalam ucapan perasmian Anugerah Sukan KPM-MSSM-Milo 2025, di sini hari ini.
Dalam majlis berkenaan, Kah Woh turut memberikan pengiktirafan kepada 13 penerima anugerah sukan kategori individu termasuk juara keseluruhan MSSM.
Mengulas lanjut, Kah Woh berkata pembangunan murid tidak seharusnya diukur berdasarkan pencapaian akademik semata-mata, sebaliknya turut merangkumi pembinaan sahsiah, bakat dan kecemerlangan dalam bidang sukan.
"Kemenjadian anak-anak kita tidak hanya terhad kepada pencapaian dalam bilik darjah atau keputusan peperiksaan seperti Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM).
"Apa yang penting ialah pembangunan sahsiah serta bakat sukan mereka supaya negara kita tidak pernah ketandusan bakat," katanya.
Beliau turut menyifatkan atlet yang lahir daripada kejohanan MSSM sebagai aset penting negara dan yakin mereka mampu menjadi tonggak pembangunan sukan Malaysia pada masa depan.
























