JOHOR BAHRU: Bekas pegawai Pejabat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) DAP, Terrence Tey Zi Yang tampil memohon maaf berhubung kenyataan yang didakwa menghina kakitangan sebuah kedai serbaneka pada 12 Julai lalu.
Dia mengakui kesilapan itu dan mendakwa kenyataan dibuat dalam keadaan emosi tidak terkawal dan tanpa memikirkan kesan terhadap individu terbabit serta masyarakat secara keseluruhan.
"Saya sama sekali tidak berniat untuk merendah-rendahkan atau menghina kakitangan berkenaan, mahupun mana-mana pekerja sektor runcit yang mencari rezeki secara halal dan bermaruah.
"Sebagai individu yang pernah berkhidmat untuk masyarakat, saya sepatutnya mempamerkan profesionalisme yang tinggi. Saya menghormati hak setiap pengundi untuk memilih mana-mana calon atau parti secara bebas tanpa sebarang prejudis.
"Perbezaan pandangan politik tidak seharusnya dijadikan alasan untuk memperlekehkan sesiapa.
"Dengan rasa rendah diri dan penuh keinsafan, saya memohon maaf kepada kakitangan kedai serbaneka yang telah saya guris perasaannya, seluruh warga kerja kedai serbaneka, semua pekerja sektor runcit, serta semua pihak yang terkesan dengan kenyataan saya," katanya dalam satu kenyataan.
Menerusi hantaran Instagram miliknya sebelum ini, Terrence menulis, "Pada jam 1 pagi ni, saya pergi ke 7-Eleven untuk beli mi segera. Staf sana yang bekerja shif malam berkata dia mengundi untuk Pannir (Selvam - ADUN Perling dari MIC). Patutlah kau kerja dengan 7-Eleven."
Terrence menjelaskan, ketika hantaran itu dimuat naik, dia bukan lagi kakitangan Pejabat ADUN Perling mahupun DAP Perling.
"Hantaran itu dibuat sepenuhnya atas kapasiti peribadi dan sama sekali tidak mewakili pendirian DAP Perling atau Pejabat ADUN Perling.
"Saya menerima pengajaran ini dengan hati yang terbuka dan akan menjadikan insiden ini sebagai pengajaran untuk menjadi insan yang lebih matang, lebih berhemah dan lebih bertanggungjawab dalam setiap tutur kata serta tindakan saya.
"Saya menghormati hak setiap pengundi untuk memilih mana-mana calon atau parti secara bebas tanpa sebarang prejudis. Perbezaan pandangan politik tidak seharusnya dijadikan alasan untuk memperlekehkan sesiapa," katanya.
Terdahulu, bekas ADUN Skudai, Marina Ibrahim berkongsi hantaran dimuat naik Terrence itu dan berpendapat itulah masalah sesetengah fanatik politik.
























