BH Online
Ringkasan Berita

RUU Kumpulan Wang Amanah Negara 2026 diluluskan di Dewan Rakyat

KUALA LUMPUR: Dewan Rakyat hari ini meluluskan Rang Undang-Undang (RUU) Kumpulan Wang Amanah Negara (KWAN) 2026 bagi memastikan pengurusan dana amanah negara lebih mampan, telus dan berkesan, selaras dengan fungsinya sebagai simpanan jangka panjang untuk generasi akan datang.
RUU Kumpulan Wang Amanah Negara 2026 diluluskan di Dewan Rakyat

Bangunan Parlimen. Foto fail NSTP

KUALA LUMPUR: Dewan Rakyat hari ini meluluskan Rang Undang-Undang (RUU) Kumpulan Wang Amanah Negara (KWAN) 2026 bagi memastikan pengurusan dana amanah negara lebih mampan, telus dan berkesan, selaras dengan fungsinya sebagai simpanan jangka panjang untuk generasi akan datang.

Timbalan Menteri Kewangan, Liew Chin Tong, berkata penubuhan KWAN pada 1988 bertujuan memelihara sebahagian kekayaan serta hasil negara supaya dapat dilaburkan demi kepentingan generasi masa depan.

"Setelah hampir empat dekad, KWAN berkembang kepada RM20.7 bilion pada 2024 dengan PETRONAS telah menyumbang sejumlah RM13.5 bilion sejak penubuhan KWAN.

"Namun, pengalaman sepanjang tempoh ini menunjukkan bahawa hasrat asal KWAN sebagai simpanan antara generasi perlu disokong oleh asas perundangan yang lebih kukuh, dengan aliran masuk lebih konsisten, pengeluaran lebih berdisiplin serta tadbir urus dan akauntabiliti yang lebih jelas," katanya ketika membentangkan RUU KWAN 2026 untuk bacaan kali kedua di Dewan Rakyat, hari ini.

Dalam pada itu, Chin Tong menjelaskan prinsip yang mendasari pembaharuan asas perundangan berkenaan adalah jelas iaitu kekayaan negara perlu terus dipelihara, berkembang dan kekal tersedia untuk masa depan.

"Hasrat ini dinyatakan dalam Ucapan Belanjawan 2025, termasuk untuk memperluas sumber sumbangan KWAN dan memperkukuh tatakelola pengeluaran dana.

"Hasil penelitian lanjut, kerajaan berpandangan bahawa pembaharuan yang diperlukan bukan lagi bersifat pindaan terhad kepada akta sedia ada, sebaliknya memerlukan suatu kerangka perundangan baharu yang menyeluruh.

"Sehubungan itu, RUU ini mencadangkan supaya Akta Kumpulan Wang Amanah Negara 1988 (Akta 339) dimansuhkan dan digantikan dengan suatu akta baharu," katanya.

Katanya, pembaharuan kerangka perundangan itu berdasarkan empat teras termasuk pemerbadanan, yang mana KWAN (Diperbadankan) ditubuhkan sebagai badan berkanun dengan lembaga yang menggantikan panel sedia ada.

Selain itu, caruman berkanun yang mana buat pertama kalinya, sumber aliran masuk Kumpulan Wang diperluas dan dijamin melalui caruman yang diwajibkan oleh undang-undang.

"Ketiga, disiplin pengeluaran. Penggunaan Kumpulan Wang diperketat dan dihadkan bagi memastikan ia terus dipelihara untuk generasi akan datang.

"Keempat, mandat pelaburan yang moden. Kumpulan Wang dilaburkan secara berhemat merentasi kelas aset yang dibenarkan, berpandukan perumpukan aset strategik yang diluluskan oleh menteri," katanya.

Seramai 14 Ahli Parlimen yang mengambil bahagian dalam perbahasan peringkat dasar RUU KWAN 2026 berkenaan.

Sementara itu, Chin Tong ketika menggulung perbahasan RUU itu menegaskan kumpulan wang berkenaan adalah dana simpanan, bukan dana perbelanjaan Kerajaan.

"Kerajaan tidak berhasrat membuat pengeluaran bagi keperluan yang telah pun diperuntukkan melalui belanjawan tahunan, sama ada perbelanjaan mengurus mahupun pembangunan.

"Kumpulan Wang ini wujud bagi keperluan luar jangka dalam tiga maksud yang termaktub dalam akta iaitu pendidikan, penjagaan kesihatan, serta mitigasi dan penyesuaian perubahan iklim.

"Ia bukan sebagai sumber pembiayaan tambahan kepada perbelanjaan kerajaan yang sedia ada," katanya.

Chin Tong berkata, RUU KWAN 2026 turut menutup ruang untuk sebarang pengeluaran dana berskala besar diluluskan oleh menteri.

Katanya, peruntukan baharu itu mengambil kira pengalaman pengeluaran RM5 bilion daripada KWAN pada 2021 (semasa COVID-19) yang mencetuskan pertikaian berhubung aspek tadbir urus dan akauntabiliti.

"Di bawah Akta KWAN 1988, ia memang boleh diluluskan sedemikian (namun) di bawah RUU ini, tidak lagi," katanya.

Video Terkini

Berita Berkaitan