KEMAMAN: Penduduk di kawasan Kijal dan Kemasik, dekat sini, gempar dengan kemunculan seekor gajah dipercayai tersesat sehingga menceroboh penempatan mereka.
Seorang penduduk, Mohd Afiq Azri Abdul Rahman, 37, berkata gajah turut ditemui berkeliaran di tepi jalan raya dan mendatangkan kebimbangan kepada pengguna jalan raya.
Menurutnya, dia terserempak haiwan liar itu di tepi jalan utama berhampiran sebuah Institusi latihan di Kijal.
"Saya terkejut melihat gajah itu ketika menunggang motosikal untuk pulang ke rumah malam tadi.
"Saya nampak banyak kenderaan bergerak perlahan, saya ingat ada sekatan jalan raya dan bila sampai di situ, saya sangat terkejut rupanya gajah di tepi jalan," katanya.
Katanya, dia sangat pelik kerana kawasan itu berhampiran pantai dan sebelum ini tidak pernah terdengar kemunculan gajah di kawasan itu.
"Saya rasa mungkin gajah ini tersesat akibat terpisah dari kawanannya. Mana mungkin haiwan ini boleh sampai ke kawasan itu," katanya.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung Gong Chengal, Mohd Zaid Jambol berkata gajah itu pada mulanya ditemui berkeliaran di belakang institut latihan dan stesen timbang Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Kijal.
"Gajah itu ditemui kira-kira jam 8 malam tadi. Bagaimanapun, penduduk menemui sekali lagi pada awal pagi tadi di Kampung Gong Chengal, tidak jauh dari kawasan gajah itu ditemui berkeliaran malam tadi.
"Kemunculan gajah itu memang membimbangkan penduduk dan haiwan itu juga telah memakan tanaman penduduk seperti kelapa, cempedak dan pisang," katanya.
Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) Terengganu, Dennis Ten Choon Yung berkata, pihaknya menerima aduan mengenai kehadiran gajah liar itu dan anggota dihantar untuk menjalankan kawalan dan pemantauan.
"Kita nasihatkan penduduk berwaspada dan tidak melakukan sebarang provokasi dan penduduk yang menemui haiwan terbabit diminta segera memaklumkan kepada PERHILITAN.
"Gajah itu berkemungkinan tersesat dari hutan simpan berhampiran sama ada Hutan Simpan Bukit Palus atau Hutan Simpan Bukit Panjang yang terletak kira-kira lima kilometer dari situ," katanya.
























