KUALA LUMPUR: Keputusan BERSATU bertanding menggunakan logo sendiri pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan menunjukkan parti itu secara sukarela memilih untuk 'mufarakah' daripada Perikatan Nasional (PN).
Mengakui tindakan itu bukan suatu yang mengejutkan, Ketua Penerangan PN, Tan Sri Annuar Musa, berkata sejak bulan lalu iaitu sebelum penamaan calon bagi PRN Johor lagi, pihaknya sudah dimaklumkan serta diberikan bukti dan maklumat secara hitam putih mengenai perancangan BERSATU itu.
Malah beliau berkata pihaknya juga memahami dari awal penentangan BERSATU secara konsisten terhadap usaha penyatuan dan muafakat Melayu, serta menolak usaha membuka PN kepada lebih banyak parti Melayu yang lain.
"Apa jua alasan yang digunakan untuk bertanding dengan logo sendiri di PRN Negeri Sembilan, kita fahami terutama bila BERSATU sebenarnya telah memaklumkan secara rasmi kepada jawatankuasa perundingan kerusi PN mengenai hasrat mahu 15 kerusi bagi PRN Negeri Sembilan.
"(Hasrat itu) sudah pasti tidak tertunai oleh PN yang mempunyai enam parti gabungan serta jumlah kerusi yang kurang daripada 15.... tidak mungkin semua mesti dibolot BERSATU.
"Justeru keputusan menggunakan logo sendiri adalah terbaik bagi BERSATU dan perlu dihormati. BERSATU kini bebas untuk bertanding 15 kerusi atau lebih dalam PRN Negeri Sembilan ini," katanya melalui Facebook.
Presiden BERSATU, Tan Sri Muhyiddin Yassin melalui kenyataan semalam memaklumkan keputusan parti itu menggunakan logo sendiri pada PRN Negeri Sembilan yang dijadualkan berlangsung 1 Ogos ini.
Ketetapan BERSATU itu diputuskan mesyuarat Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) selepas parti itu tidak dibabitkan dalam sebarang perbincangan pembahagian kerusi PN.
Muhyiddin dilapor berkata, MPT juga bersetuju menyerahkan mandat kepada presiden untuk membenarkan calon parti lain menggunakan logo BERSATU pada PRN Negeri Sembilan, namun enggan mendedahkan perinciannya.
Dalam pada itu, Annuar memaklumkan tindakan BERSATU mengumumkan penggunaan logo sendiri iru bermaksud parti itu secara sukarela memilih untuk mufarakah daripada PN bagi PRN Negeri Sembilan.
"Di pihak PN, soal calon, kerusi dan lambang hanya akan dimuktamadkan melalui Mesyuarat Khas Majlis Tertinggi PN.
"Pilihan BERSATU untuk mendahului keputusan Majlis Tertinggi PN adalah hak mereka dan kita harus menghormatinya.
"Bagi PAS, penyatuan ummah kita dahulukan, bukan jumlah kerusi. Kita ucap selamat maju jaya kepada BERSATU...," katanya.
























