BH Online
Ringkasan Berita

Murid maut dilanggar bas: 'Saya tak sanggup lihat jenazah Umar' - Bapa

KLUANG: Pilu hati seorang bapa melihat jasad anak lelakinya, Muhammad Umar yang baru berusia tujuh tahun terbujur kaku di bilik mayat.
Murid maut dilanggar bas: 'Saya tak sanggup lihat jenazah Umar' - Bapa

Mohd Faaiz Muran (dua dari kiri) gagal menahan sebak ketika pengebumian di Tanah Perkuburan Islam Sri Lalang, hari ini. - NSTP/ Alias Abd Rani

KLUANG: Pilu hati seorang bapa melihat jasad anak lelakinya, Muhammad Umar yang baru berusia tujuh tahun terbujur kaku di bilik mayat.

Hanya satu terlintas di fikiran Mohd Faaiz Muran, 35, seberat mana kesakitan dialami anak kecilnya itu yang meninggal dunia selepas dilanggar bas sekolah di Taman Sri Lalang, di sini, petang semalam.

"Saya tak tahu macam mana kesakitan dialami bila melihat jenazahnya. Saya tak sanggup lihat keadaannya," demikian kata Mohd Faaiz ketika ditemui selepas pengebumian anaknya di Tanah Perkuburan Islam Sri Lalang, hari ini.

Mengulas kejadian berlaku, katanya dia dimaklumkan Umar kemalangan pada jam 4.30 petang dan dia yang sedang bekerja di Selangor bergegas pulang.

Menurutnya, arwah menunjukkan perubahan beberapa hari sebelum kejadian termasuk bermanja dengannya.

Berbanding hari kebiasaan, katanya, kelakuan Umar banyak berubah, namun dia tidak menyangka ia petanda terakhir yang membawa kepada pemergian anak kesayangan buat selama-lamanya.

"Isnin lalu, arwah minta saya dukung, peluk sedangkan sebelum ini dia tidak pernah berkelakuan sedemikian.

"Malah, arwah juga meminta bermacam-macam termasuk membeli basikal. Dia janji pada saya nak belajar bersungguh-sungguh, sebab itulah saya terlalu sedih apabila mengenang kembali Umar.

"Mujurlah saya sempat memenuhi sebahagian besar permintaan. Saya sepatutnya pulang ke sini (Taman Sri Kluang) esok dan bercadang membawanya bersiar-siar bersama adik perempuan kembar. ," katanya.

Mohd Faaiz bagaimanapun berkata dia sekeluarga tidak menyalahkan pemandu bas kerana apa yang berlaku adalah takdir.

Terdahulu, jenazah Muhammad Umar selamat dikebumikan jam 2.15 petang selepas selesai proses bedah siasat di Hospital Enche' Besar Hajjah Khalsom.

Suasana sedih menyelubungi tanah perkuburan dengan ibu arwah, Nurul Shahira Salim, 35, beberapa kali cuba ditenangkan ahli keluarga.

Video Terkini

Berita Berkaitan