KUALA LUMPUR: Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) mengesyorkan pihak kerajaan mengkaji kewajaran mengapungkan harga minyak masak di pasaran terbuka.
Ia bertujuan menstabilkan bekalan, mengurangkan perbelanjaan subsidi serta menggalakkan persaingan harga yang lebih sihat di peringkat runcit.
Pengerusi PAC, Datuk Mas Ermieyati Samsudin, berkata kerajaan boleh mengambil iktibar daripada pelaksanaan mekanisme pengapungan harga ayam dan telur yang disifatkan berjaya.
"Kerajaan perlu mengkaji kewajaran pengapungan harga minyak masak di pasaran secara terbuka, mengambil contoh daripada kejayaan pengapungan harga ayam dan telur.
"Langkah ini dapat menjamin kestabilan bekalan, mengurangkan perbelanjaan subsidi serta merangsang persaingan harga yang sihat di peringkat runcit," katanya pada sidang media di Parlimen, hari ini.
Cadangan itu adalah antara lapan syor yang dikemukakan PAC menerusi Penyata Pengurusan Kawalan Harga dan Subsidi Minyak Masak di bawah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN).
Penyata itu disediakan susulan 10 prosiding yang diadakan antara 5 Ogos hingga 15 Oktober tahun lalu selepas Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) 2/2025 mendapati pengurusan kawalan harga dan subsidi minyak masak adalah kurang memuaskan.
Mas Ermieyati berkata, PAC mendapati Skim Penstabilan Harga Minyak Masak (eCOSS) memperuntukkan sebanyak 60,000 tan metrik minyak masak bersubsidi setiap bulan, sedangkan keperluan sebenar domestik dianggarkan hanya antara 19,000 hingga 30,000 tan metrik.
"Sehubungan itu, KPDN perlu menyemak semula keseluruhan rantaian bekalan minyak masak dan mengurangkan kuota bulanan sebanyak 60,000 tan metrik supaya selaras dengan keperluan sebenar domestik.
"Langkah ini penting bagi mengelakkan ketirisan serta pembaziran dana awam," katanya.
Selain itu, katanya, PAC turut mendapati ketiadaan mekanisme agihan bersasar menyebabkan perbelanjaan subsidi minyak masak berjumlah RM10.879 bilion antara 2019 hingga Februari tahun lalu tidak dimanfaatkan sepenuhnya oleh kumpulan sasar.
Katanya, minyak masak paket satu kilogram turut didapati sering dibeli pihak yang tidak layak, termasuk warga asing dan pengusaha komersial.
Sehubungan itu, jawatankuasa berkenaan mengesyorkan kerajaan mempercepatkan peralihan daripada subsidi pukal kepada mekanisme subsidi bersasar sepenuhnya secara digital menerusi eCOSS.
PAC turut mengesyorkan kadar subsidi sebanyak RM600 bagi setiap tan metrik yang dibayar kepada syarikat pembungkus semula minyak masak disemak semula kerana margin keuntungan mereka didapati terlalu tinggi berbanding kos pemprosesan sebenar.
Selain itu, PAC mendapati kerajaan masih menanggung subsidi bagi stok minyak masak rosak yang tidak akan sampai kepada pengguna.
Katanya, kelemahan pemantauan di peringkat peruncit menyumbang kepada amalan jualan bersyarat, penyimpanan stok secara berlebihan serta penjualan melebihi harga kawalan.
Dalam pada itu, Mas Ermieyati berkata, syarikat asing menguasai 67 peratus kuota penapisan minyak masak bersubsidi, manakala syarikat berkaitan kerajaan (GLC), iaitu FGV dan SD Guthrie, hanya menguasai 10.6 peratus daripada kuota berkenaan.
Katanya, PAC mengesyorkan supaya keutamaan diberikan kepada syarikat tempatan yang berdaya saing apabila pengagihan semula kuota dilaksanakan.
Beliau turut memaklumkan dua daripada sembilan syarikat pembungkus semula yang ditegur dalam LKAN masih belum memiliki pensijilan halal walaupun Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) sudah menambah baik proses pensijilan halal.
























