BH Online
Ringkasan Berita

KCJ Engineering keluarkan 4 cek bernilai RM800,000 kepada BERSATU - saksi

KUALA LUMPUR: Pengurus kewangan KCJ Engineering Sdn Bhd (KESB), syarikat pembinaan bagi projek Program Jana Wibawa, memberitahu Mahkamah Tinggi hari ini beliau diarahkan untuk menyediakan empat cek dengan nilai keseluruhan berjumlah RM800,000 kepada BERSATU.
KCJ Engineering keluarkan 4 cek bernilai RM800,000 kepada BERSATU - saksi

Tan Sri Muhyiddin Yassin - gambar fail

KUALA LUMPUR: Pengurus kewangan KCJ Engineering Sdn Bhd (KESB), syarikat pembinaan bagi projek Program Jana Wibawa, memberitahu Mahkamah Tinggi hari ini beliau diarahkan untuk menyediakan empat cek dengan nilai keseluruhan berjumlah RM800,000 kepada BERSATU.

Zuriedah Deres @ Musa dalam pernyataan saksinya berkata di Pejabat KCJ Engineering Sdn Bhd di Bukit Jelutong, Shah Alam, Selangor, beliau diarahkan menyediakan cek itu untuk disumbangkan kepada BERSATU.

Katanya, Pengarah Urusan KCJ Engineering, Datuk Azman Yusoff, mengarahkannya untuk menyediakan cek bagi tujuan sumbangan.

Zuriedah yang juga saksi ke-19 pendakwaan turut mengesahkan sumbangan berkenaan mempunyai kaitan dengan Jana Wibawa yang dianugerahkan kepada KESB seperti yang diberitahu Azman kepadanya.

Bagaimanapun, katanya, beliau tidak diberitahu dengan lebih lanjut mengenai projek terbabit dan hanya menjalankan tugasnya untuk menyediakan cek bagi sumbangan berkenaan.

Pada prosiding sebelum ini, mahkamah diberitahu KESB adalah antara 54 syarikat yang dicadangkan Perdana Menteri ketika itu, Tan Sri Muhyiddin Yassin, menerusi surat bertarikh 13 November 2020 bagi melaksanakan projek Program Jana Wibawa secara rundingan terus.

Semalam, Pengarah Jabatan Kerja Raya (JKR) Negeri Sembilan, Datuk Wan Hasnan Wan Musa, memberitahu Mahkamah Tinggi, JKR membuat pembayaran RM24.4 juta kepada sebuah syarikat pembinaan bagi projek Program Jana Wibawa.

Wan Hasnan yang membacakan pernyataan saksinya berkata syarikat KESB menerima pembayaran terbabit bagi Projek Membina Jalan Baharu Menyambung FELDA Bukit Jalor ke Gemas.

Dalam perkembangan itu, Zuriedah berkata sebanyak empat keping cek bernilai RM200,000 setiap satu disediakan bagi tujuan sumbangan berkenaan yang mana cek itu ditandatangani oleh dua Pengarah KESB, iaitu Mohd Zaid Yusoff dan Zulhelmi Mairin.

"Saya sahkan saya ada menyediakan empat keping cek bertarikh 1 September 2022, dengan nilai setiap cek adalah sebanyak RM200,000.

"Saya sahkan saya ada membuat catatan bertulis pada keempat-empat cek tersebut yang menyatakan bayaran adalah kepada BERSATU," katanya dalam pernyataan saksi.

Sementara itu, ketika disoal Timbalan Pendakwa Raya, Wan Nur Iman Wan Mohd Afzal, mengenai kebiasaan menyediakan cek untuk tujuan sumbangan kepada parti politik, Zuriedah mengesahkan beliau tidak pernah berbuat demikian, kecuali sumbangan berbentuk cek kepada BERSATU.

"Saya memang tidak pernah menyediakan sumbangan menerusi cek... maksudnya ini adalah kali pertama saya menyediakan cek kepada parti politik," katanya.

Beliau mengesahkan mengetahui tujuan penyediaan dan kepada siapa cek itu ditujukan selepas dinyatakan sendiri oleh Azman.

"Cek itu ditandatangani oleh Mohd Zaid dan Zulhelmi kerana mereka adalah pengarah yang 'available' ketika itu. (Ketika itu) saya juga menjelaskan cek itu adalah arahan Datuk Azman sebagai sumbangan.

"Datuk Azman akan memanggil saya dan memberikan arahan kepada saya untuk mengeluarkan cek kepada sesiapa yang

dikehendaki. Saya juga menerima arahan (sedemikian) daripada pengarah-pengarah lain.

Ditanya arahan penyediaan kepada siapa, saksi itu berkata:

"Seingat saya ia adalah sumbangan kepada parti."

Sementara itu, ketika disoal peguam Datuk Amer Hamzah Arshad semasa pemeriksaan balas, Zuriedah juga bersetuju KESB memberikan sumbangan kepada parti politik lain.

Saksi berkenaan memberikan keterangan terhadap Muhyiddin yang didakwa menggunakan kedudukan dan pengubahan wang haram membabitkan program Projek Jana Wibawa.

Turut memberi keterangan hari ini ialah saksi ke-18, yang juga Setiausaha Bahagian, Bahagian Kabinet, Perlembagaan dan Perhubungan Antara Kerajaan, Jabatan Perdana Menteri, Indra Khairil Bahrain.

Perbicaraan di hadapan Hakim Noor Ruwena Md Nurdin bersambung esok.

Video Terkini

Berita Berkaitan