BH Online
Ringkasan Berita

PAC bentang enam penyata di Dewan Rakyat

KUALA LUMPUR: Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) membentangkan enam penyata di Dewan Rakyat sepanjang Mesyuarat Kedua Penggal Keempat Parlimen Ke-15, selain meneruskan pelbagai prosiding bagi memastikan tadbir urus kewangan negara dilaksanakan secara telus dan berakauntabiliti.
PAC bentang enam penyata di Dewan Rakyat

Bangunan Parlimen. Foto hiasan NSTP

KUALA LUMPUR: Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) membentangkan enam penyata di Dewan Rakyat sepanjang Mesyuarat Kedua Penggal Keempat Parlimen Ke-15, selain meneruskan pelbagai prosiding bagi memastikan tadbir urus kewangan negara dilaksanakan secara telus dan berakauntabiliti.

Naib Pengerusi PAC, Teresa Kok, berkata pihaknya turut mengadakan beberapa siri prosiding bagi menyiasat isu yang dibangkitkan dalam Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) Bilangan 1 2026 dengan memanggil saksi daripada pelbagai kementerian dan agensi kerajaan bagi memberikan keterangan.

Beliau berkata, antara isu utama yang disiasat ialah pengurusan kutipan yuran pelajar dan perbelanjaan di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), membabitkan tujuh prosiding yang turut membabitkan pengurusan tertinggi UKM, UKMShape, bekas pegawai kanan universiti serta pegawai berkaitan.

"PAC juga mengadakan lima prosiding berhubung Program Penyelidikan, Pembangunan, Pengkomersialan dan Inovasi (R&D&C&I) Negara yang membabitkan Kementerian Kewangan (MOF), Kementerian Ekonomi dan Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI).

"Prosiding turut membabitkan Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI); Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM); Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) serta pelbagai agensi penyelidikan lain.

"Antara agensi yang dipanggil memberi keterangan ialah MIMOS Berhad, Cradle Fund Sdn Bhd, Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI), Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA), Malaysian Industrial Development Finance Berhad (MIDF), serta UKM dan Universiti Teknologi Malaysia (UTM)," katanya pada sidang media di Parlimen, hari ini.

Dalam pada itu, Teresa berkata, pihaknya turut memulakan prosiding berhubung Pelaburan Hartanah Berhad (PHB) di bawah Jabatan Perdana Menteri (JPM) dengan memanggil wakil JPM dan PHB.

Katanya, prosiding berhubung isu berkenaan akan diteruskan minggu depan membabitkan bekas pengurusan PHB.

"PAC menekankan bahawa setiap prosiding yang dijalankan bukan sekadar bertujuan mencari kelemahan, sebaliknya sebagai mekanisme semak dan imbang untuk menambah baik sistem penyampaian perkhidmatan kerajaan.

"Pembabitan pelbagai saksi daripada pelbagai agensi menunjukkan komitmen PAC dalam mendapatkan gambaran holistik terhadap setiap isu yang dibangkitkan," katanya.

Katanya, PAC akan terus mengemukakan syor-syor untuk dilaksanakan oleh agensi dan memastikan tindakan susulan sewajarnya oleh pihak eksekutif demi kepentingan rakyat dan negara.

"Ingin ditekankan, PAC akan kekal komited dalam menjalankan fungsi PAC bagi memastikan setiap ringgit wang rakyat dibelanjakan dengan berhemah mengikut peraturan yang ditetapkan," katanya.

Video Terkini

Berita Berkaitan