BH Online
Ringkasan Berita

Polis jamin tiada 'pukat' sepanjang penganjuran RXZ Members 8.0

KUALA TERENGGANU: Polis Terengganu jamin tiada operasi ‘pukat’ sepanjang penganjuran program RXZ Members 8.0 pada 31 Julai hingga 1 Ogos depan.
Polis jamin tiada 'pukat' sepanjang penganjuran RXZ Members 8.0

Ketua Polis Terengganu Datuk Mohd Khairi Khairudin (tengah) semasa sidang media berkaitan RXZ Member 8.0 di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Terengganu hari ini. - Foto NSTP/Ghazali Kori

KUALA TERENGGANU: Polis Terengganu jamin tiada operasi 'pukat' sepanjang penganjuran program RXZ Members 8.0 pada 31 Julai hingga 1 Ogos depan.

Ketua Polis Terengganu, Datuk Mohd Khairi Khairudin, berkata pihaknya mengalu-alukan kehadiran lebih 100,000 penunggang motosikal dari seluruh negara ke Terengganu untuk menjayakan program berkenaan.

Bagaimanapun katanya, tiada sebarang pengecualian akan diberikan kepada mana-mana peserta yang melakukan kesalahan lalu lintas atau melanggar undang-undang.

Katanya, Polis Terengganu tidak akan melakukan operasi 'pukat', namun mengambil pendekatan lain yang bersesuaian sekiranya masih ada yang ingkar.

"Kita mengalu-alukan mereka semua datang ke Terengganu tetapi dalam masa sama mereka perlu mematuhi peraturan jalan raya.

"Tiada keistimewaan atau pengecualian terhadap mereka, sekiranya melakukan kesalahan, kita akan ambil tindakan.

"Jangan bimbang, penguatkuasaan tetap berjalan walaupun tiada operasi 'pukat' dilakukan," katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Terengganu, di sini, hari ini.

Beliau berkata, seramai 619 pegawai dan anggota polis akan ditugaskan sepanjang penganjuran program berkenaan bagi memastikan kelancaran lalu lintas serta ketenteraman awam.

Anggota polis turut ditempatkan di beberapa lokasi strategik termasuk Jalan Pantai Seberang Takir (Pantai Miami) dan Jalan Pantai Teluk Ketapang bagi menghalang peserta daripada melakukan aksi berbahaya seperti 'wheelie'.

"Kehadiran anggota polis di lokasi-lokasi berkenaan sebagai langkah pencegahan awal kerana kita tahu jalan tersebut lurus dan ada yang mungkin mengambil kesempatan untuk menunggang secara berbahaya," katanya.

Peserta diingatkan jangan berlumba

Dalam masa sama, Mohd Khairi berkata, peserta RXZ Members diingatkan supaya tidak berlumba terutama di Lebuh Raya Pantai Timur 2 (LPT2) ketika datang atau sewaktu pulang.

"Tidak membuat bising di kawasan awam seperti hospital dan kawasan penginapan, selain tidak membawa barang terlarang ke negeri ini.

"Polis juga akan meningkatkan rondaan menggunakan Unit Rondaan Bermotosikal (URB) dan kereta peronda (MPV) bagi memantau kawasan tumpuan orang ramai," katanya.

Dalam penganjuran tahun lalu, dua kemalangan maut, dua kemalangan membabitkan cedera parah dan tujuh kemalangan cedera ringan direkodkan.

Himpunan RXZ Members tahun lalu menarik lebih 100,000 kehadiran peserta.

Video Terkini

Berita Berkaitan