KUALA LUMPUR: "Saya bukan lari dari Sikamat," demikian kata Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun.
Menteri Besar Negeri Sembilan itu berkata demikian mengulas pelbagai spekulasi mengenai tindakan beliau bertanding di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Linggi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan, meninggalkan kerusi DUN Sikamat yang diterajui selama empat penggal.
"Saya 'pass' (lepaskan) baton bertanding di kerusi Sikamat buat Ustaz Norazman. Saya dah pesan, jaga Sikamat. Saya sayang Sikamat.
Terima kasih Sikamat.
"Saya ke Linggi atas kehendak saya. Ingin berbakti kepada penduduk DUN Linggi. Jika Allah izinkan kemenangan, saya akan bekerja keras, lebih lagi untuk penduduk di DUN Linggi," katanya melalui muat naik di Facebook.
Pada majlis pengumuman calon Pakatan Harapan (PH) Selasa lalu, Aminuddin diumum bertanding ke DUN Linggi, manakala kerusi DUN Sikamat disandang beliau akan diwakili Setiausaha Politik kepada Aminuddin, Nor Azman Mohamad.
Sebelum ini Aminuddin yang juga Naib Presiden PKR mengakui DUN Linggi bukan kerusi selamat kerana ia kubu kuat Barisan Nasional (BN) sejak sekian lama.
Bagaimanapun, keputusan beliau berpindah ke kerusi itu dari kerusi DUN Sikamat dibuat dengan penuh teliti dan berasaskan beberapa faktor dalam usaha memastikan PH dapat merampas kerusi berkenaan.
Mengulas lanjut, beliau mengakui DUN Sikamat banyak meninggalkan kenangan kepadanya sejak memenangi kerusi itu pada 2008.
"Empat penggal saya di Sikamat. Dari seorang ADUN pembangkang, sampai menjadi Menteri Besar pun saya masih di Sikamat.
"Tahun 2008. Sikamat yang sudi memenangkan saya. Kerjaya saya politik mula di sana. Susah, lelah saya penduduk Sikamat yang tahu.
"Ofis atas kedai, dari 'simple-simple' je, kini lebih baik rupa dia.
"Dulu, semasa peruntukan pembangkang terhad, macam macam cara kami cari duit untuk mendapatkan bantuan untuk penduduk di sana. Yang bersama-sama susah senang saya sendiri tahu bagaimana kami sama-sama cari dana, buat program untuk penduduk di sana," katanya.
Di Sikamat juga, tegas Aminuddin beliau bersilaturahim dengan ramai orang, dari hubungan ADUN dan rakyat sehinggalah sekarang menjadi rapat macam keluarga.
"Setiap kali pulang mengadakan program bersama rakyat Sikamat, rasa macam pulang ke kampung sendiri.
"Semua keluarga saya pun dah selesa dengan penduduk Sikamat. Isteri dan anak-anak saya pun dah biasa dengan orang Sikamat. Begitulah saya dan Sikamat," katanya.
























