KUALA LUMPUR: Jabatan Meteorologi Malaysia (METMalaysia) mengeluarkan amaran ribut petir, hujan lebat dan angin kencang melanda enam negeri dan Labuan sehingga jam 3 petang ini.
Menerusi amaran dikeluarkan pada jam 12 tengah hari, METMalaysia memaklumkan, keadaan cuaca itu dijangka melanda Langkawi, Kedah; Port Dickson, Negeri Sembilan dan seluruh Melaka, selain Tangkak dan Muar di Johor.
Sabah diramal mengalami cuaca sama membabitkan Pedalaman (Kuala Penyu, Beaufort dan Tambunan), Pantai Barat dan Kudat (Kota Marudu), manakala di Sarawak membabitkan Serian, Samarahan (Simunjan), Sri Aman, Sarikei (Julau), Sibu (Kanowit), Kapit, Bintulu, Miri dan Limbang.
Menurut kenyataan sama, amaran dikeluarkan apabila terdapat tanda-tanda menunjukkan ribut petir dengan intensiti hujan melebihi 20 milimetersejam (mm/jam) yang hampir atau dijangka berlaku melebihi sejam.
"Amaran ribut petir adalah amaran jangka pendek yang sah dalam tempoh tidak melebihi enam jam untuk satu-satu keluaran," katanya.




















